
Hakim Noorin Badaruddin yang mengetuai panel tiga hakim berkata jenayah sedemikian terus mencetuskan ketakutan dan rasa tidak selamat, khususnya dalam kalangan wanita serta komuniti rentan.
“Mahkamah secara konsisten mengiktiraf kesalahan seperti ini menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap keselamatan di tempat awam,” katanya ketika membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengembalikan hukuman penjara tujuh tahun yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen terhadap bekas pekerja kilang, Annuar Jalie, atas kesalahan samun.
Noorin, yang bersidang bersama Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Radzi Harun, berkata hukuman penjara panjang perlu dikenakan bagi menyampaikan mesej jelas kesalahan dilakukan secara melulu sehingga membahayakan orang awam akan menerima hukuman berat.
Beliau berkata kesalahan samun, termasuk ragut, di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, sebatan dan denda.
Noorin berkata Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila mengurangkan hukuman penjara Annuar daripada tujuh tahun kepada empat tahun.
Katanya, Mahkamah Tinggi memberi penekanan berlebihan terhadap pengakuan bersalah Annuar.
Walaupun pengakuan bersalah boleh diambil kira sebagai faktor mitigasi, ia tidak semestinya membawa kepada pengurangan hukuman secara automatik.
“Perkara itu bergantung kepada fakta dan keadaan setiap kes,” katanya.
Annuar, 41, melakukan kesalahan terhadap Nur Antasya Aireena Adnan di Jalan Ayu 17, Taman Pelangi Indah, Ulu Tiram, Johor, pada 5.30 pagi, 17 Feb tahun lalu. Dia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen dan dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun serta tiga sebatan.
Noorin berkata Annuar menarik beg mangsa ketika motosikalnya sedang bergerak, sekali gus mewujudkan risiko kecederaan yang serius bukan sahaja kepada pengadu, malah kepada orang lain.
Katanya, sebarang kehilangan imbangan atau kawalan secara tiba-tiba boleh menyebabkan mangsa tercampak ke atas jalan raya, sekali gus mendedahkannya kepada risiko kematian atau kecederaan parah.
“Hakim Mahkamah Sesyen betul apabila mengenakan hukuman penjara yang tegas bagi mencerminkan cara jenayah itu dilakukan yang amat berbahaya,” katanya.
Berdasarkan fakta kes, Annuar yang menunggang motosikal meragut beg galas milik Nur Antasya yang mengandungi dokumen peribadi, telefon bimbit dan seutas gelang emas, sebelum melarikan diri.
Nur Antasya dan tunangnya mengejar Annuar, tetapi gagal menangkapnya. Tunang mangsa kemudian menjejak telefon bimbit itu, yang membawa polis kepada Annuar di sebuah kampung berhampiran.
Dia kemudian ditahan dan barangan yang dicuri berjaya ditemukan semula.
Timbalan Pendakwa Raya J Shamala memohon Mahkamah Rayuan mengembalikan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen, dengan berkata hukuman itu berada dalam julat biasa enam hingga tujuh tahun bagi kesalahan sedemikian.
Bagaimanapun, peguam Collin Andrew meminta mahkamah mengambil kira bahawa Annuar pesalah kali pertama dan telah mengaku bersalah.