Wanita OKU maut, ibu cedera dalam kebakaran

Wanita OKU maut, ibu cedera dalam kebakaran

Wanita OKU berusia 48 tahun ditemukan meninggal dunia dalam rumah manakala ibunya cedera pada kedua-dua tapak kaki.

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran rumah yang menyebabkan wanita OKU maut manakala ibunya cedera dalam kejadian di Parit Buntar awal pagi tadi. (Gambar JBPM)
IPOH:
Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) maut manakala ibunya cedera dalam kebakaran di rumah mereka di Parit 310, Bagan Tiang dekat Parit Buntar awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 2.34 pagi.

“Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit Buntar, BBP Kuala Kurau dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Parit Buntar yang tiba di lokasi kejadian mendapati kebakaran itu melibatkan sebuah rumah kelas B dua tingkat yang musnah kira-kira 70 peratus dan sebuah kereta Proton Iriz.

“Wanita OKU berusia 48 tahun itu ditemukan meninggal dunia dalam rumah manakala ibunya yang berusia 71 tahun cedera pada kedua-dua tapak kaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk rawatan manakala mayat wanita OKU diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi pemadaman itu katanya, melibatkan 17 anggota bomba berserta tiga jentera dan pihak bomba menggunakan dua aliran hos sepanjang 60 meter dengan dua pancutan daripada sumber air terbuka bagi mengawal kebakaran.

Dalam kes lain, Sabarodzi berkata pasukan bomba BBP Bagai Serai membantu mengeluarkan seorang lelaki dari parit selepas kereta dipandunya terbabas di Jalan Besar Bagan Serai-Taiping dekat Bagan Serai, kira-kira 2.30 pagi tadi.

“Kereta Perodua Myvi dipandu mangsa dipercayai terbabas di bahu jalan sebelum mangsa tercampak ke dalam parit itu. Mangsa yang berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak KKM,” katanya.

Beliau berkata kerja-kerja mengeluarkan mangsa dilakukan menggunakan peralatan scoop stretcher sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.