1 warga asing maut, 11 terselamat dalam kebakaran rumah kedai

1 warga asing maut, 11 terselamat dalam kebakaran rumah kedai

Kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai tiga tingkat di Jalan Tun H.S. Lee awal pagi tadi.

Menurut bomba, semua mangsa yang terselamat dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut selepas kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 5.10 pagi. (Gambar Envato Elements)
KUALA LUMPUR:
Seorang lelaki warga asing ditemukan maut manakala 11 lagi individu terselamat dalam kebakaran melibatkan sebuah rumah kedai tiga tingkat di Jalan Tun H.S. Lee di sini awal pagi tadi.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur dalam kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian NG999 pada 2.13 pagi sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi kejadian.

Sementara itu, Komander Operasi Azrul Khairi Abu Bakar berkata sebanyak 45 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah dengan bantuan BBP Titiwangsa, Pudu, Sentul dan Sri Hartamas digerakkan ke premis berkenaan.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi pada 2.25 pagi, didapati kebakaran melibatkan rumah kedai berkeluasan 15 x 70 kaki persegi yang memusnahkan kira-kira 50% struktur di tingkat bawah dan tingkat satu.

“Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan 11 warga asing terdiri daripada sembilan lelaki dan dua wanita. Bagaimanapun, seorang lagi mangsa lelaki disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan,” katanya dalam kenyataan sama.

Azrul Khairi berkata anggota bomba menggunakan tangga bagi menyelamatkan empat lelaki yang terperangkap di tingkat dua, selain dua lelaki dan seorang wanita yang berada di bahagian bumbung premis berkenaan.

Beliau berkata kesemua 11 mangsa yang terselamat dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut selepas kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 5.10 pagi, namun punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.