AI boleh tingkat keselamatan jalan raya jika guna dengan baik, kata pakar

AI boleh tingkat keselamatan jalan raya jika guna dengan baik, kata pakar

Ahli akademik berkata selain penguatkuasaan undang-undang, penggunaan AI boleh bantu kenal pasti tingkah laku dan keadaan membahayakan pengguna jalan raya.

car overtaking trailer
Kecerdasan buatan boleh membantu mengenal pasti faktor risiko seperti pemanduan berbahaya tetapi, pakar berkata, pengawasan manusia masih penting.
PETALING JAYA:
Selain hanya memastikan penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan dengan betul, kecerdasan buatan (AI) berpotensi menjadikan jalan raya lebih selamat untuk semua pengguna sekiranya syarat sesuai dipenuhi, menurut dua pakar pengangkutan.

Sebagai contoh, AI boleh membantu pihak berkuasa mengesan tingkah laku pemanduan berisiko dan mengenal pasti kawasan berisiko tinggi sebelum kemalangan berlaku, kata mereka kepada FMT.

Mereka berkata penggunaan AI untuk menganalisis corak trafik, memantau tingkah laku pemandu dan menandakan lokasi berisiko tinggi akan membolehkan intervensi lebih awal yang mungkin dapat menyelamatkan nyawa.

Namun, kedua-dua ahli akademik itu turut memberi amaran bahawa sistem sedemikian memerlukan akses kepada data tempatan yang mencukupi, kerjasama antara agensi, serta pemantauan manusia untuk berfungsi dengan berkesan.

Yuen Choon Wah dari Universiti Malaya dan Hadyan Hafizh dari Sunway University berkata demikian susulan minat terhadap terhadap penggunaan teknologi itu semakin meningkat demi menambahbaik keselamatan jalan raya selepas beberapa kes kemalangan maut baru-baru ini.

Yuen, yang mengetuai pusat penyelidikan pengangkutan universitinya, berkata AI boleh digunakan untuk mengenal pasti pesalah berulang, termasuk pemandu yang mempunyai sejarah pelanggaran trafik atau saman tertunggak, di samping memberi penyelidik gambaran lebih jelas tentang lokasi panas kemalangan.

Tambahnya, analisis tersebut juga boleh menonjolkan isu yang lebih mendalam berkaitan reka bentuk jalan dan infrastruktur.

Yuen berkata AI sudah mempunyai potensi aplikasi untuk memantau trafik dan penguatkuasaan, yang akhirnya boleh meningkatkan keselamatan jalan raya.

“Apabila penguatkuasaan bertambah baik, ia boleh membantu mengurangkan kemalangan jalan raya,” katanya.

Namun beliau turut menegaskan bahawa sistem AI tidak boleh beroperasi secara bersendirian.

“Kita tidak boleh bergantung 100% kepada output AI. Ia masih perlu disahkan oleh jurutera profesional,” katanya, menekankan keperluan pemantauan manusia.

Yuen berkata masih terdapat cabaran yang perlu diatasi untuk memastikan AI berkesan dalam meningkatkan keselamatan jalan raya. Antaranya ialah akses terhad kepada data yang boleh digunakan daripada pihak berkuasa tempatan, pengendali pengangkutan dan syarikat swasta.

“Itu antara cabaran terbesar kami. Tanpa data, sukar untuk melaksanakan pada skala besar,” katanya, sambil menambah keperluan mekanisme perkongsian data yang lebih kukuh.

Hadyan pula berkata perbincangan mengenai AI dan keselamatan jalan raya tidak seharusnya terhad kepada pemantauan dan saman sahaja.

Menurutnya, AI berpotensi memainkan peranan lebih luas. “Sebagai contoh, ia boleh digunakan untuk mengesan tanda awal kemalangan seperti corak brek mengejut, pertukaran lorong berbahaya, konflik titik buta, masa lampu isyarat yang tidak sesuai, lubang jalan dan bahaya lain di jalan raya,” katanya.

“Banyak situasi berbahaya berlaku sebelum kemalangan sebenar terjadi,” kata pensyarah kanan di sekolah pengkomputeran dan kecerdasan buatan universiti itu.

Hadyan berkata sistem AI boleh ditempatkan di kawasan berisiko tinggi seperti zon sekolah, laluan yang dipenuhi motosikal, persimpangan sibuk dan lokasi lebuh raya yang dikenal pasti sebagai kawasan hitam, menggunakan data daripada kamera dan sensor.

Katanya, ini membolehkan pihak berkuasa mengeluarkan amaran masa nyata, melaraskan isyarat trafik, memberi makluman kepada pasukan kecemasan atau mempertingkat penguatkuasaan di kawasan berisiko.

“Penggunaan AI yang paling berkesan bukanlah satu penyelesaian tunggal, tetapi gabungan pelbagai pendekatan yang bekerjasama untuk mempengaruhi tingkah laku, menyokong intervensi awal dan memperbaiki keseluruhan persekitaran jalan raya,” katanya.

Kedua-dua penyelidik itu berkata berkata pelaksanaan harus dimulakan secara kecil-kecilan sebelum diperluaskan, dengan memberi tumpuan terlebih dahulu kepada laluan berisiko tinggi dan kawasan hitam yang dikenal pasti.

Mereka juga menegaskan bahawa AI tidak seharusnya dilihat sebagai penyelesaian mutlak, sebaliknya sebagai alat sokongan yang boleh membantu mengubah pendekatan keselamatan jalan raya Malaysia daripada bertindak selepas kemalangan kepada mencegahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.