
R Saktygaanapathy, 28, menukar pengakuan itu selepas pertuduhan pindaan dibacakan semula di hadapan Majistret Nor Azilah Mat.
Mengikut pertuduhan pindaan, dia didakwa memasukkan dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC) ke dalam badan sendiri di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Klang Selatan pada 3.30 petang, 29 Mac.
Pada 1 April, tertuduh dilaporkan mengaku bersalah atas pertuduhan memberikan diri sendiri dadah jenis benzo dan THC pada waktu dan lokasi yang sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun serta pengawasan tidak lebih tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Peguam Aravind Raj yang mewakili tertuduh ketika ditemui di luar mahkamah berkata anak guamnya tidak diwakili peguam semasa dihadapkan ke mahkamah dua bulan lepas, menyebabkan dia tidak memahami kesan dan akibat daripada pengakuan bersalah yang dibuat sebelum ini.
Nor Azilah kemudian menetapkan 22 Julai sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sulfie Abu Hassan.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, Majistret A Karthiyayini menetapkan tarikh yang sama (22 Julai) untuk sebutan semula kes bunuh yang dihadapi Saktygaanapathy bagi membolehkan pihak pendakwaan melengkapkan laporan bedah siasat.
Saktygaanapathy didakwa membunuh penghantar barangan, Amirul Hafiz Omar, 33, di Jalan Raya Barat di sini pada 11.47 pagi, 29 Mac, selepas dipercayai memandu di bawah pengaruh dadah.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh bagi kes bunuh berkenaan kerana ia berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dalam pada itu, peguam yang mewakili keluarga mangsa, Mohd Faizi Che Abu memaklumkan pihaknya akan memfailkan tuntutan pampasan melebihi RM1 juta terhadap individu yang menyebabkan kematian Amirul, selewat-lewatnya bulan depan.
Faizi berkata mereka dalam proses melengkapkan dokumen berkaitan termasuk menilai pendapatan sebenar mangsa untuk menentukan jumlah tuntutan sewajarnya.