AGC arah nahas maut Kluang disiasat kerana membunuh

AGC arah nahas maut Kluang disiasat kerana membunuh

Peguam Negara Dusuki Mokhtar berkata pertuduhan muktamad akan ditentukan selepas pihaknya meneliti penuh hasil siasatan polis.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar bernama pic 23226
Peguam Negara Dusuki Mokhtar zahir kekecewaan kerana tindakan tegas diambil dalam kes nahas maut sebelum ini kelihatan tidak memberi pengajaran atau mengekang pemandu cuai. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Peguam Negara mengarahkan siasatan nahas mengorbankan lima nyawa dan mencederakan lapan lain di Kluang, Johor, Isnin lalu diklasifikasikan sebagai bunuh dan menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu dan berbahaya.

The New Straits Times memetik Peguam Negara Dusuki Mokhtar, sebagai berkata pertuduhan muktamad akan ditentukan selepas pejabatnya meneliti hasil siasatan polis.

Dusuki menyuarakan kekecewaan kerana tindakan tegas yang diambil dalam kes nahas maut sebelum ini, termasuk pertuduhan membunuh, kelihatan tidak memberi pengajaran atau mengekang pemandu cuai.

Sementara itu, Harian Metro melaporkan Ketua Polis Kluang, Bahrin Noh, sebagai berkata polis melanjutkan tempoh reman remaja berusia 19 tahun yang terlibat dalam kemalangan itu kepada satu hari lagi.

Semalam, Bahrin berkata remaja berkenaan yang memandu Mercedes-Benz E240, dipercayai sedang berlumba dengan abangnya, Goh Yi Sheng, 22, memandu BMW, sebelum nahas berlaku pada 1.19 tengah hari, di Jalan Renggam-Simpang Renggam.

Goh hilang kawalan ke atas BMW dipandu lalu masuk ke laluan bertentangan, seterusnya bertembung Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira 1.5, dan Mercedes-Benz milik adiknya.

Empat penumpang dalam Toyota Vios – Aiman Rashid, 36, Nur Airish Syifa Sidek, 10, Nor Azlina Abd Latif, 33, dan Semek Mat Soh, 73 – disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Goh pula meninggal dunia akibat parah di dada semasa dalam perjalanan ke hospital.

Lapan lain yang terlibat dalam nahas berkenaan dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom di Kluang untuk mendapatkan rawatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.