Polis diminta segerakan siasatan nahas ragut 4 sekeluarga

Polis diminta segerakan siasatan nahas ragut 4 sekeluarga

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata kertas siasatan perlu segera dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi membolehkan pendakwaan terhadap pemandu terbabit.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook menegaskan lesen memandu bukan kebenaran untuk memandu sesuka hati sehingga menyebabkan malapetaka kepada orang lain yang tidak berdosa.
PETALING JAYA:
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook meminta polis menyegerakan siasatan ke atas kemalangan yang mengorbankan empat sekeluarga di Jalan Renggam-Simpang Renggam, Kluang.

Beliau berkata, kertas siasatan perlu dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara secepat mungkin supaya pendakwaan dapat dilaksanakan terhadap pemandu yang menyebabkan kemalangan itu.

Loke turut mengecam pemanduan melulu sebagai tindakan sangat tidak bertanggungjawab dan tidak boleh diterima sama sekali.

“Kementerian Pengangkutan ingin menegaskan sekali lagi keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama semua pengguna jalan raya.

“Lesen memandu bukan satu kebenaran untuk memandu sesuka hati sehingga menyebabkan malapetaka kepada orang lain yang tidak berdosa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga lima mangsa yang terkorban dalam nahas itu.

Semalam, empat sekeluarga dikenali Semek Mat Soh, 73, anak dan menantunya, Aiman Mohd Rashid, 36; Nor Azlina Abd Latip, 33, serta Nur Airish Syifa Sidek, 10, maut dalam nahas lima kenderaan pada 1.15 tengah hari.

Pemandu BMW 530e turut meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Ketua Polis Kluang, Bahrin Mohd Noh dilaporkan berkata, kemalangan maut itu berpunca daripada tindakan pemandu dua kereta mewah memandu secara laju dan melulu.

Terdahulu, remaja 19 tahun yang disyaki memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan itu direman dua hari bermula hari ini.

Perintah reman sehingga esok ke atas penuntut sebuah universiti di Singapura itu dikeluarkan Majistret Mustaqim Sukarno untuk polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suspek dipercayai memandu Mercedes Benz secara berbahaya bersama abangnya berusia 22 tahun yang memandu BMW 530e sehingga menyebabkan kemalangan maut itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.