
Perintah reman hingga esok ke atas suspek yang juga penuntut sebuah universiti di Singapura dikeluarkan Majistret Mustaqim Sukarno di Mahkamah Majistret Batu Pahat.
Ia bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum RM15,000 jika sabit kesalahan.
Suspek dipercayai individu yang memandu Mercedes Benz secara berbahaya bersama abangnya berusia 22 tahun yang memandu BMW 530e hingga menyebabkan kemalangan pada 1.15 tengah hari semalam, lapor Berita Harian.
Dalam kejadian itu, empat sekeluarga dikenali Semek Mat Soh, 73, anak dan menantu, Aiman Mohd Rashid, 36; Nor Azlina Abd Latip, 33, serta Nur Airish Syifa Sidek, 10, maut dalam nahas terbabit.
Kesemua mereka yang maut dilaporkan dalam perjalanan dari Melaka untuk pulang ke Kota Tinggi.
Pemandu BMW 530e terbabit turut dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital bagi mendapat rawatan.