
Ketua Polis Kluang, Bahrin Mohd Noh, berkata siasatan mendapati kereta jenis BMW 530e dipandu pemuda 22 tahun dalam perjalanan dari bandar Kluang menghala ke Simpang Renggam.
Menurutnya, kereta terbabit dipandu secara laju dan melulu bersama sebuah lagi Mercedes Benz A250 yang dipandu remaja lelaki berusia 19 tahun.
“Polis menerima laporan kemalangan pada 1.15 tengah hari membabitkan lima buah kenderaan. Siasatan mendapati BMW 530e terbabit hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh empat kenderaan.
“BMW 530e itu merempuh Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah lagi Mercedes Benz yang bergerak di laluan bertentangan. Selepas merempuh kenderaan terbabit, BMW 530e terbabas dan jatuh ke dalam gaung di seberang jalan.
“Akibat rempuhan itu, pemandu Toyota Vios iaitu lelaki berusia 36 tahun dan isterinya berusia 33 tahun meninggal dunia. Turut terbunuh wanita berusia 73 tahun dan kanak-kanak perempuan 10 tahun. Semua maut akibat parah di kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan, lapor Berita Harian.
Bahrin berkata, pemandu BMW 530e meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital bagi mendapat rawatan.
Menurutnya, penumpang Perodua Alza iaitu kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 11 dan tujuh tahun yang mengalami kecederaan di kepala kini dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.
“Pemandunya iaitu lelaki berusia 43 tahun cedera di kaki. Pemandu Proton Wira, lelaki berusia 22 tahun cedera di mulut sementara wanita berusia 57 tahun yang juga pemandu Mercedes Benz cedera ringan.
“Kesemua mangsa cedera mendapat rawatan di hospital sama. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau berkata polis telah menahan pemandu Mercedes Benz A250 serta merampas kenderaan terbabit untuk siasatan lanjut.
“Ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif bahan terlarang.
“Permohonan reman akan dibuat hari ini mengikut Seksyen 42 (1) akta sama, kerana memandu secara melulu hingga membahayakan pengguna jalan raya lain.
“Orang ramai mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini diminta menghubungi balai polis berhampiran atau IPD Kluang di talian 07-7784222, 07-7766822 (hotline), 07-7784256 atau 014-365682,” katanya.