Syed Saddiq bimbang asing kuasa AG-pendakwa raya mungkin tangguh 5 tahun lagi

Syed Saddiq bimbang asing kuasa AG-pendakwa raya mungkin tangguh 5 tahun lagi

Ahli Parlimen Muar kata cadangan untuk pisah peranan itu mungkin tangguh lebih lama jika RUU tak dibentang sebelum PRU.

SYED SADDIQ
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa pihak berkepentingan untuk mencari titik tengah bagi menyelesaikan pertikaian berkaitan cadangan pemisahan kuasa tersebut.
KUALA LUMPUR:
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bimbang cadangan undang-undang untuk memisahkan peranan peguam negara (AG) dan pendakwa raya mungkin tidak akan menjadi kenyataan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Berucap pada forum mengenai pemisahan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya di ibu pejabat Majlis Peguam, Ahli Parlimen Muar itu berkata jika rang undang-undang (RUU) tersebut tidak dibentangkan sebelum PRU akan datang, pemisahan peranan itu akan terus tertangguh.

“Ini kebimbangan terbesar saya,” katanya.

Syed Saddiq berkata dalam satu mesyuarat tertutup baru-baru ini, ‘garis pemisah telah jelas ditetapkan’, merujuk kepada tuntutan bercanggah daripada pelbagai pihak termasuk pembangkang, birokrat dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Beliau menambah jika isu-isu tersebut tidak diselesaikan, beliau bimbang pemisahan kuasa itu ‘tidak akan berlaku untuk tempoh yang sangat lama’.

Pada 16 April, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said berkata kerajaan berharap dapat mencari ‘titik tengah’ sebelum Jun dalam usaha memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya.

Beliau berkata Putrajaya sedang terus mendapatkan pandangan daripada NGO, AGC dan parti politik sebelum membentangkan pindaan Perlembagaan.

Pada 3 Mac, kerajaan mengumumkan bahawa RUU untuk memisahkan fungsi bertindih peguam negara ditangguhkan dan dirujuk kepada sebuah jawatankuasa Parlimen yang baharu ditubuhkan.

Syed Saddiq berkata tanpa sebarang kompromi, reformasi itu berisiko ditinggalkan kerana ia boleh dilihat sebagai isu yang memecahbelahkan dan tidak berbaloi untuk diteruskan.

Beliau menambah bahawa tentangan politik juga boleh berpunca daripada bagaimana reformasi tersebut ditafsirkan, sehingga menyukarkan usaha untuk mendapatkan sokongan.

Bagaimanapun, Syed Saddiq mengulangi gesaan Azalina dan menggesa semua pihak berkepentingan mencari titik persamaan.

Katanya, walaupun hanya separuh reformasi dilaksanakan, ia tetap bermakna.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.