
Dalam usaha terbaharu untuk mendapatkan semakan kehakiman, Badan Peguam memohon keputusan peguam negara untuk tidak meneruskan tindakan (NFA) dalam kes itu dibatalkan, walaupun perbicaraan sudah hampir ke penghujung.
Mereka juga memohon pengisytiharan keputusan NFA yang diumumkan melalui kenyataan media pada 8 Jan tidak sah dan melampaui kuasa diberikan kepada peguam negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 254(1) Kanun Tatacara Jenayah.
Sebagai badan yang mewakili hampir 25,000 peguam yang beramal di Semenanjung Malaysia, Badan Peguam turut memohon Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah mandamus supaya peguam negara bertindak mengikut Seksyen 254A Kanun Tatacara Jenayah, sama ada dengan menyambung semula kes rasuah tersebut atau memfailkan pertuduhan baharu terhadap Zahid.
Selain itu, mereka mahu mahkamah mengarahkan peguam negara memberikan semua maklumat, dokumen, alasan dan asas yang digunakan dalam membuat keputusan tersebut.
Permohonan ini difailkan oleh firma guaman Abhilaash Subramaniam & Co di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dengan peguam negara dan Zahid dinamakan sebagai responden pertama dan kedua.
FMT difahamkan bahawa salinan permohonan yang belum dimeterai telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
Dalam dokumen itu, Badan Peguam menegaskan keputusan NFA itu bercanggah dengan keputusan mahkamah pada 22 Jan 2022 yang mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap Zahid.
Mereka juga berhujah keputusan itu tidak selari dengan kepentingan awam kerana akan menyebabkan pembaziran besar dari segi masa kehakiman, sumber, dan wang awam yang telah digunakan sepanjang perbicaraan.
Presiden Badan Peguam yang baharu, B Anand Raj, memfailkan afidavit sokongan bagi permohonan ini.
Pada 4 Sept 2023, Mahkamah Tinggi telah memberikan Zahid pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) daripada 47 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah.
DNAA itu diberikan sementara menunggu siasatan lanjut oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hakim Collin Lawrence Sequerah, yang mengendalikan perbicaraan tersebut, membenarkan permohonan itu walaupun sebelum ini memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie.
Ketika DNAA diberikan, kes itu sudah berada di peringkat pembelaan, dengan Zahid serta 14 saksi pembelaan lain telah pun memberi keterangan.
Namun begitu, pada Januari tahun ini, AGC menyatakan bukti tidak mencukupi untuk meneruskan pendakwaan selepas siasatan SPRM.
Dalam permohonan terdahulu yang difailkan pada Disember 2023, Badan Peguam memohon kebenaran Mahkamah Tinggi untuk mencabar keputusan peguam negara memohon DNAA terhadap Zahid.
Pada 27 Jun 2024, Hakim Amarjeet Singh menolak permohonan tersebut dan memutuskan bahawa peguam negara tidak wajib memberikan dokumen yang diperoleh daripada SPRM kepada Badan Peguam.
Rayuan Badan Peguam terhadap keputusan itu telah didengar di Mahkamah Rayuan awal minggu ini, dan prosiding akan disambung semula pada 15 April.