
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Arthur Joseph Kurup berkata, panel tersebut akan memastikan dasar berkaitan karbon dilaksanakan melalui perbincangan antara kerajaan persekutuan dan negeri.
Jawatankuasa itu, katanya, akan menyelaras penilaian dan pembangunan sistem pendaftaran kredit karbon antara kedua-dua pentadbiran, lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas).
“Sarawak telah meluluskan Ordinan Gas Rumah Hijau, jadi mereka sudah ada peraturan dan rangka kerja tersendiri. Oleh itu, apabila kita bawa masuk rangka kerja nasional, kita perlu pastikan kita boleh selaras antara peringkat persekutuan dan negeri, terutamanya mengenai harga kredit karbon.
“Sarawak dan kerajaan persekutuan tidak boleh ada harga yang berbeza-beza, kerana kredit karbon yang dihasilkan dari Sarawak juga akan bantu sasaran Sumbangan yang Ditentukan Negara (NDC) kita pada peringkat antarabangsa, khususnya apabila kita melapor di bawah Perjanjian Paris,” kata Kurup.
Menurutnua, negeri Borneo itu memainkan peranan penting dalam pembangunan pasaran Malaysia memandangkan ia mempunyai liputan hutan lebih 54%.
Dalam perkembangan berasingan, Kurup berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara akan dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat Jun ini, selepas beberapa kali tertangguh.
Beliau berharap semua Ahli Parlimen akan membantu memastikan RUU tersebut diluluskan oleh Parlimen.
RUU berkenaan dijangka merangkumi kredit atau insentif karbon untuk syarikat yang berjaya mengurangkan pelepasan karbon mereka, antara lain, bagi menyokong agenda nasional untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.
Ia pada asalnya dijadual dibentangkan pada penghujung tahun lalu namun ditangguhkan ke sidang Mac tahun ini sebelum tertangguh sekali lagi.