
Setiausaha agung sayap itu, Hafiz Ariffin berkata dana persekutuan sebanyak RM14.6 bilion yang dipetik pemimpin PH merangkumi projek yang telah diumumkan, namun masih belum dilaksanakan seperti Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA 2) dan sistem Transit Laju Autonomi Bertingkat (E-ART).
Beliau berkata, mengumumkan sesuatu projek tidak sama dengan dana telah disalur dan dibelanjakan di lapangan.
“Mengumumkan projek masa depan tak sama dengan duit yang dah betul-betul turun, sampai, dan dibelanjakan.
“Kenapa perlu main kira-kira macam ini sekarang? Nak jadikan kerjasama politik itu sebagai ukuran pembangunan ke?” katanya dalam hantaran video di Facebook.
“Kalaulah itu caranya, saya rasa Johor pun nanti bila sampai waktunya, rakyat pandai buat kira-kira juga.”
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, yang menyatakan di Konvensyen PH Johor bahawa pembangunan mutakhir ini di negeri itu sebahagian besarnya dipacu inisiatif persekutuan dan bukannya oleh kerajaan negeri semata-mata.
Pertikaman lidah antara pemimpin BN dan PH itu bermula selepas Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi mengumumkan BN negeri akan bertanding di semua 56 DUN pada PRN.
Sejak itu, Pemuda DAP mencadangkan Parlimen patut dibubarkan jika Umno meneruskan rancangannya bertanding solo di Johor.
Hafiz, yang juga setiausaha agung Pemuda BN, berkata angka RM14.6 bilion itu turut merangkumi perbelanjaan operasi seperti gaji penjawat awam, serta pengurusan sekolah dan hospital.
“Ini adalah soal gaji penjawat awam, hospital, polis, sekolah, dan operasi kerajaan. Ini semua belanja kerajaan persekutuan di Johor,” katanya.
Hafiz turut menekankan Johor antara penyumbang utama hasil negara, sambil memetik data Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menunjukkan negeri itu menyumbang hampir RM20 bilion daripada RM203.9 billion kutipan cukai langsung negara, pada 2025.