
Beliau turut mencabar DAP menarik sokongan daripada kerajaan jika benar mahu menguji kekuatan masing-masing melalui pembubaran Parlimen serta DUN.
“Jadi jangan sembang soal ‘kacang lupakan kulit’, kerana hakikatnya semua pihak tahu siapa yang membantu memastikan kestabilan politik selepas PRU lalu,” katanya dalam kenyataan.
Akmal mengulas kenyataan Pemuda DAP yang mengingatkan Umno supaya tidak melupakan jasa PH, susulan pendirian Umno Johor untuk bergerak solo dalam pilihan raya akan datang.
Menurut sayap DAP itu, kerjasama antara PH dengan BN khususnya prinsip mengelakkan pertembungan sesama sendiri telah memberikan nyawa kepada Umno untuk kekal relevan dalam medan politik.
Isnin lalu, Pengerusi BN Johor Onn Hafiz Ghazi mengekalkan pendirian untuk parti itu bertanding solo pada PRN Johor di sebalik kritikan PH, rakan kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.
Akmal yang juga Adun Merlimau berkata, jika DAP benar-benar mahu menguji sokongan rakyat, parti itu juga boleh menarik sokongan daripada kerajaan negeri yang dibentuk bersama BN.
“Tarik sokongan di Perak. Tarik sokongan di Pahang. Kita lawan secara gentleman dan serah kembali mandat kepada rakyat,” katanya.
Akmal berkata, Pemuda DAP juga tidak perlu “menggelabah” dengan cadangan Umno Johor bergerak solo kerana tiada sebarang perjanjian menetapkan BN wajib menghadapi PRN atau PRU bersama PH.
Tambahnya, cadangan supaya Umno bergerak solo bukan perkara baharu kerana Pemuda Umno sudah menyuarakan perkara itu kepada kepimpinan parti sejak tahun lalu.
Katanya, cadangan itu kini akan dimulakan di Johor.
“Pemimpin kami mendengar suara kami dan kita akan mulakan di Johor,” katanya.
Akmal turut mencabar pemimpin DAP keluar daripada kerajaan Melaka, sambil berkata beliau sendiri pernah menghantar surat peletakan jawatan.
“Sekurangnya saya berani hantar surat peletakan jawatan, bukan satu tapi dua surat telah dihantar.
“Kalau benar mahu menguji kekuatan, kita buka gelanggang. Bring it on,” katanya.