Takut bincang peralihan punca Bersatu berpecah, kata bekas MPT

Takut bincang peralihan punca Bersatu berpecah, kata bekas MPT

Zulkifli Bujang berkata jika Hamzah Zainudin benar-benar mahukan kuasa, beliau boleh mencabar Muhyiddin Yassin dalam pemilihan parti.

Zulkifli Bujang tepis dakwaan Marzuki Mohamad yang Hamzah Zainudin jadi punca perpecahan Bersatu.
PETALING JAYA:
Seorang bekas ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menolak dakwaan Hamzah Zainudin menjadi punca perpecahan parti seperti didakwa Marzuki Mohamad, bekas pegawai kepada Muhyiddin Yassin.

Zulkifli Bujang berkata kegagalan membincangkan peralihan kepimpinan dan hala tuju baharu secara terbuka menyebabkan krisis kepimpinan Bersatu berlaku yang kemuncaknya menyaksikan Hamzah dipecat sebagai ahli serta timbalan presiden.

Turut dipecat Zulkifli serta pimpinan lain antaranya Saifuddin Abdullah, Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Bekas naib presiden Ronald Kiandee dan ketua Wanita Mas Ermieyati Samsuddin pula antara pimpinan digantung keahlian.

“Dalam mana-mana parti, bila kita takut berbincang tentang peralihan kepimpinan, strategi baharu dan hala tuju masa depan, akhirnya parti akan jadi defensif dan mula melihat semua perbezaan pandangan sebagai ancaman.

“Itu punca sebenar perpecahan,” kata Zulkifli dalam kenyataan.

Marzuki menerusi Facebooknya semalam mendakwa Hamzah menggunakan PAS dan Umno sebagai modal untuk memecah-belahkan Bersatu, sekali gus ingin mengambil alih parti itu daripada Muhyiddin.

Dakwanya, tindakan itu didakwa bertujuan membolehkan Hamzah mendapatkan jawatan presiden Bersatu dan pengerusi Perikatan Nasional (PN) tanpa perlu melalui pertandingan.

Marzuki juga mendakwa Muhyiddin memujuk Ahmad Faizal Azumu selaku penyandang timbalan presiden untuk memberi laluan kepada Hamzah pada pemilihan Bersatu, dua tahun lalu.

Muhyiddin dan Hamzah diumumkan menang tanpa bertanding bagi jawatan presiden serta timbalan manakala Faizal mengisi satu daripada tiga kerusi naib presiden selain Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin dan Kiandee.

Mengulas lanjut, Zulkifli yang kini pemimpin gerakan Reset Johor berkata, jika Hamzah benar-benar ‘gila kuasa’ seperti didakwa, Ahli Parlimen Larut itu boleh sahaja mencabar Muhyiddin dalam pemilihan parti sebelum ini.

“Kalau betul Hamzah terlalu gila kuasa seperti yang didakwa, beliau boleh sahaja lawan presiden Bersatu dalam pemilihan parti dahulu. Laluan terbuka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.