Pemuda DAP ingatkan Umno jangan lupa jasa PH

Pemuda DAP ingatkan Umno jangan lupa jasa PH

Sayap DAP itu berkata kerjasama PH-BN memberi 'nyawa politik' kepada Umno selepas PRU15, namun BN Johor kini mahu tanding solo pada PRN.

DAP Youth
Pemuda DAP gesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim bubar Parlimen serentak dengan DUN Johor serta negeri lain jika ada pihak cenderung menikam dari belakang dan memperlekeh semangat perpaduan. (Gambar Pemuda DAP)
PETALING JAYA:
Pemuda DAP mengingatkan Umno supaya tidak melupakan peranan Pakatan Harapan (PH) membantu parti itu kekal relevan, susulan keputusan BN Johor bertanding solo di semua 56 DUN pada PRN akan datang.

Sayap pemuda DAP itu berkata keputusan BN Johor bergerak sendiri perlu dilihat bersama sejarah kerjasama PH-BN selepas PRU15, khususnya ketika Umno berdepan prestasi pilihan raya paling buruk dan tekanan gelombang Perikatan Nasional (PN).

“Ketika Umno mengalami kekalahan paling teruk pada PRU lalu, siapakah yang bersama-sama melawan gelombang PN untuk mengelakkan sokongan UMNO tidak terus dihakis?” katanya dalam kenyataan.

Sayap DAP itu berkata Umno juga perlu mengingati sikap tidak berdendam PH selepas PRN 2023 yang memberi ruang kepada Umno bersama dalam pentadbiran Selangor dan Pulau Pinang.

Katanya, kerjasama itu turut membolehkan parti itu mendapat laluan di beberapa kerusi boleh menang, selain memastikan kestabilan kerajaan di Perak dan Pahang apabila PH menyokong Umno sebagai calon menteri besar.

“Kerjasama dan rundingan kerusi antara PH dengan BN, khususnya prinsip mengelakkan pertembungan sesama sendiri, telah memberikan nyawa kepada Umno untuk kekal relevan dalam medan politik Malaysia.

“Ini hakikat politik yang tidak boleh dipadamkan sesuka hati,” katanya.

Isnin lalu, Pengerusi BN Johor Onn Hafiz Ghazi mengekalkan pendirian untuk parti itu bertanding solo pada PRN Johor di sebalik kritikan PH, rakan kerajaan perpaduan di peringkat persekutuan.

Pemuda DAP menegaskan pendirian itu menimbulkan persoalan mengenai keikhlasan Umno dalam mempertahankan semangat kerajaan perpaduan, terutama ketika parti itu masih menjadi sebahagian daripada pentadbiran pusat.

“Ada pihak dalam Umno yang kini bertindak ‘bagai kacang lupakan kulit’ apabila mahu bergerak sendiri di Johor, sedangkan kerjasama dengan PH sebelum ini membantu parti itu mengekalkan kedudukan politiknya,” katanya.

Sayap DAP itu juga mencadangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen serentak dengan DUN Johor serta negeri lain jika ada pihak cenderung menikam dari belakang dan memperlekeh semangat perpaduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.