
Peguam Negara, Mohd Dusuki Mokhtar, berkata cadangan itu memerlukan kajian terperinci bagi memastikan keberkesanannya dari segi pelaksanaan jika direalisasikan kelak.
Katanya, jika tribunal khas itu ditubuhkan ia wajar dilaksanakan dalam kerangka perundangan sedia ada.
“AGC sedang meneliti penubuhan tribunal seperti yang dicadangkan. Jika ditubuhkan, ia wajar dilaksanakan dalam kerangka perundangan yang sudah ada.
“Ia juga memerlukan kajian terperinci untuk memastikan keberkesanan dari segi pelaksanaannya,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau mengulas cadangan pakar kriminologi megenai penubuhan tribunal atau badan khas bagi menentukan bentuk pampasan kepada mangsa jenayah kerana mekanisme itu dilihat lebih konsisten berbanding bergantung sepenuhnya kepada mahkamah jenayah.
Pensyarah Kanan Fakulti Undang-undang Universiti Malaya, Haezreena Begum Abdul Hamid, dilaporkan berkata cadangan itu turut merangkumi empat kaedah pelaksanaan termasuk pembabitan panel campuran.
Ia menerima maklum balas positif daripada pakar perlembagaan yang melihat penubuhan tribunal bagi tuntutan pampasan kepada keluarga mangsa jenayah relevan untuk dilaksanakan, namun memerlukan perbicaraan berasingan untuk pendakwaan kes sama.
Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Danial Farhan, berkata penubuhan tribunal khas memerlukan masa, pindaan undang-undang, struktur pentadbiran, pelantikan ahli tribunal dan prosedur baharu.
Atas dasar itu, beliau melihat wujud kaedah lebih cepat, praktikal dan menjimatkan kos tanpa perlu mewujudkan tribunal baharu iaitu mekanisme mediasi.
Cadangan penubuhan tribunal khas itu susulan beberapa pihak termasuk ahli politik dan pakar undang-undang yang mahukan pampasan diberikan kepada keluarga mangsa maut akibat jenayah termasuk kemalangan.
Dusuki sebelum ini dilaporkan berkata, AGC akan mengeluarkan arahan mewajibkan semua timbalan pendakwa raya meneliti serta memfailkan permohonan pampasan terhadap keluarga mangsa jenayah, termasuk kematian disebabkan pemandu mabuk atau bawah pengaruh alkohol.