
Menurutnya, pelbagai bentuk tindakan diambil terhadap anggota terbabit atas isu berkaitan integriti, termasuk amaran, penurunan pangkat dan pengurangan gaji.
“Kami akan terus mengambil tindakan terhadap pegawai sedemikian,” katanya ketika berucap dalam perasmian Forum Kesedaran Jenayah dan Keselamatan Awam di sini.
“Saya yakin jika kita teruskan usaha ini, kita dapat mengurangkan isu berkaitan integriti.”
Beliau turut menekankan kepentingan integriti, tanpa mengira agensi atau kementerian.
Tegasnya, integriti ialah asas kepercayaan dan tanpanya, orang ramai tidak akan mempercayai pasukan polis.
“Dalam konteks kepolisan, memang ada pegawai dan anggota terbabit salah laku. Jumlahnya mungkin kecil, sekitar 0.001%, tetapi kesannya tetap besar.
“Kita tidak boleh mengabaikannya hanya kerana jumlahnya kecil. Golongan kecil inilah yang mencemarkan imej polis, walaupun kita buat 10,000 perkara baik.”
Katanya, NGO memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara komuniti dan polis, dengan membantu polis menyalurkan maklumat berhubung kegiatan jenayah untuk tindakan pencegahan.
Jelasnya, kerjasama sedemikian penting kerana ia akan menentukan kejayaan polis dalam memastikan keselamatan awam.