
Ketua Polis Tanah Merah Mohd Haki Hasbullah berkata dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, mangsa Mohd Khairul Amri Ab Kadir, 43, cedera di dagu selepas terkena tembakan ketika melakukan rondaan bersama rakannya bagi mengesan kegiatan mencuri lembu.
“Sebelum kejadian, pengadu yang juga jurujual berusia 35 tahun bersama mangsa menjalankan rondaan di kawasan ladang berkenaan sejak 1.30 pagi.
“Sekitar 2.30 pagi, mereka terserempak dengan sekumpulan lebih kurang lima lelaki dipercayai warga tempatan dan warga Thailand.
“Suspek kemudiannya dipercayai bertindak melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat ke arah pengadu dan rakannya,” katanya dalam kenyataan lapor Bernama.
Haki berkata mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Tanah Merah dan kini sedang menerima rawatan di Zon Merah, Wad Kecemasan.
Katanya, sebuah motosikal Honda EX5 milik mangsa dilaporkan turut dilarikan oleh seorang daripada suspek dipercayai warga tempatan.
“Pihak polis kini sedang giat menjalankan usaha untuk mengesan dan menangkap kesemua individu yang terlibat dan kami menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran,” katanya.