
Baginda bertitah rakyat sentiasa memerhati setiap tindakan pasukan keselamatan, manakala setiap keputusan yang dibuat memberi kesan besar terhadap tahap kepercayaan masyarakat.
“Justeru, dalam memberikan perkhidmatan, sifat sabar, tenang, jujur dan ikhlas mesti sentiasa diutamakan,” titah baginda selepas berkenan melawat Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Baginda yang juga komander Rejimen 504 Askar Wataniah Tentera Darat Malaysia turut menzahirkan penghargaan terhadap pengorbanan serta dedikasi pasukan keselamatan yang disifatkan sebagai benteng utama negara.
Menurut baginda, komitmen tinggi pasukan keselamatan amat penting dalam memastikan Malaysia terus kekal aman, stabil dan sejahtera.
“Tanpa komitmen tinggi daripada mereka, keamanan dan ketenteraman yang kita nikmati hari ini sukar dipertahankan,” titah baginda.
Dalam kunjungan ke DSA itu, Tuanku Syed Faizuddin meneliti perkembangan terkini teknologi pertahanan moden, termasuk sistem persenjataan, mobiliti taktikal dan penyelesaian keselamatan bersepadu.
Baginda melawat beberapa pempamer utama dunia antaranya Reunert Electronics, Rosoboronexport, Colt CZ, FN Herstal, Heckler & Koch, Steyr Arms, Weststar, Mal Tech dan Caracal, selain Pavilion Turkiye serta Emiriah Arab Bersatu.
DSA edisi ke-19 berlangsung dari 20 hingga 23 April diadakan serentak dengan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026.
Ia menghimpunkan pemain industri pertahanan dan keselamatan dari seluruh dunia.