‘Kos besar ditanggung semua’ andai eksport minyak Iran disekat

‘Kos besar ditanggung semua’ andai eksport minyak Iran disekat

Naib Presiden Pertama Iran Mohammad Reza Aref berkata tiada siapa boleh sekat eksport minyak negaranya sambil harap keselamatan laluan itu bebas dinikmati pihak lain.

Strait of Hormuz
Naib Presiden Pertama Iran Mohammad Reza Aref, berkata keselamatan Selat Hormuz bukan percuma. (Gambar Reuters)
ISTANBUL:
Naib Presiden Pertama Iran Mohammad Reza Aref memberi amaran keselamatan di Selat Hormuz tidak dapat dijamin sekiranya eksport minyak Iran terus disekat, lapor Anadolu Ajansi.

“Tiada siapa boleh menyekat eksport minyak Iran sambil mengharapkan keselamatan laluan itu dinikmati secara bebas oleh pihak lain.

“Keselamatan Selat Hormuz bukan percuma,” kata Aref di X.

Aref berkata, dunia kini berdepan pilihan sama ada ‘pasaran minyak bebas untuk semua’ atau ‘kos besar yang perlu ditanggung semua pihak’.

Beliau turut berkata, kestabilan harga bahan api global bergantung pada ‘penamatan yang terjamin dan berkekalan terhadap tekanan ekonomi dan ketenteraan ke atas Iran serta sekutunya’.

Pada 28 Feb, Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran, yang kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan ke atas Israel serta beberapa negara lain di rantau itu yang menempatkan aset AS.

Operasi AS-Israel itu mengorbankan lebih 3,300 orang sebelum Washington dan Tehran mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu pada 8 April, yang diusahakan Pakistan.

Kedua-dua pihak kini sedang membuat persiapan bagi pusingan kedua rundingan di Islamabad pada Selasa selepas rundingan pada 11 hingga 12 April berakhir tanpa sebarang persetujuan.

AS mengenakan sekatan laut ke atas Iran pada 13 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.