
Dua kapal persiaran milik syarikat pelancongan Jerman, TUI, dan sebuah lagi milik firma perkapalan Switzerland, MSC melalui selat di luar pesisir Iran itu secara konvoi, kata jurucakap MSC.
“Lintasan itu dilaksanakan dalam penyelarasan rapat dengan pihak berkuasa yang bertanggungjawab,” katanya.
TUI memaklumkan, dua kapalnya kini dalam perjalanan ke Mediterranean dari ibu pejabat syarikat itu di Hamburg.
Syarikat itu memaklumkan bahawa butiran lanjut mengenai laluan dan jadual akan diumumkan selepas dimuktamadkan.
MSC pula berkata, kapalnya ‘MSC Euribia’, sedang menuju ke utara Eropah, dengan pelayaran yang dijadual berlepas dari Kiel di utara Jerman pada 16 Mei akan diteruskan seperti dirancang.
Amerika Syarikat dan Iran sebelum ini mengumumkan pembukaan semula Selat Hormuz pada Jumaat, namun jurucakap markas angkatan tentera Iran menarik balik pengumuman itu pada Sabtu, susulan keputusan AS mengekalkan sekatannya di selat berkenaan, lapor agensi berita Fars.
Menurut perkhidmatan data maritim MarineTraffic, kapal persiaran ‘Celestial Discovery’ yang sebelum ini dikenali sebagai ‘Aida aura’ pada Jumaat menjadi kapal pertama merentasi Selat Hormuz sejak permulaan perang Iran pada 28 Feb, apabila AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran.