
Law Teik Hua, penyelidik keselamatan jalan raya di Universiti Putra Malaysia, berkata banyak perubahan boleh dilakukan khususnya dalam meningkatkan infrastruktur kritikal yang sering menjadi punca kemalangan jika tambahan itu dijadikan tabung keselamatan khas.
Katanya, tanpa perubahan itu, cadangan kenaikan kadar terbabit hanya dianggap sebagai satu ketidakadilan kepada penunggang.
“Perkara pertama yang perlu dilakukan adalah memulihkan lorong motosikal yang rosak, menampal lubang, dan meratakan permukaan jalan.
“Dalam banyak kes, kemalangan berlaku bukan atas kesilapan penunggang, tetapi disebabkan kualiti jalan yang buruk. Permukaan licin, pasir di bahu jalan, dan halangan lain boleh menyebabkan penunggang hilang kawalan,” katanya kepada FMT.
Tambahnya, dana itu juga boleh digunakan untuk mengubah suai reka bentuk jalan di kawasan ‘titik hitam’.
“Kutipan cukai itu juga boleh dikembalikan kepada rakyat menerusi program pendidikan dan pemberian alat perlindungan seperti topi keledar piawaian tinggi, jaket pemantul cahaya atau peluang menghadiri kursus pemanduan defensif secara percuma,” katanya.
Cadangan menaikkan kadar cukai jalan itu dibangkitkan dalam ruangan pandangan FMT, Selasa lalu menerusi tulisan Mohamed Nasser Mohamed.
Penulis mencadangkan kerajaan mempertimbangkan agar cukai jalan motosikal 150cc ke bawah dinaikkan kepada RM20 setahun yang perbelanjaan difokuskan kepada keselamatan penunggang.
Pengasas badan pemikir pengangkutan My Mobility Vision, Wan Agyl Wan Hassan turut senada dengan berkata berkata kadar RM2 setahun ketika ini tidak lagi mencerminkan realiti risiko di jalan raya.
Beliau mendedahkan statistik membimbangkan bagi 2025 di mana 66.4% daripada 6,537 kematian jalan raya melibatkan penunggang motosikal.
“Kita sudah lama membayar harga yang murah sambil menanggung risiko yang mahal. Itu inti kepada isu ini,” katanya.
Menurutnya, dengan anggaran sembilan juta motosikal aktif, kenaikan RM20 berpotensi menjana lebih RM160 juta setahun untuk tujuan keselamatan seperti pembinaan lorong, pencahayaan jalan, penyelenggaraan permukaan dan kemudahan asas penunggang.
Bagaimanapun beliau mengingatkan, kenaikan itu berisiko menjadi sekadar ‘tambahan hasil’ kerajaan tanpa impak sebenar jika tiada mekanisme pengasingan dana yang telus.
“Keselamatan motosikal di Malaysia bukan isu kadar cukai, tetapi reka bentuk sistem. Jika sistem tidak berubah, RM20 tetap tidak akan mengubah risiko maut di jalan raya,” katanya.