Ketika dron kuasai medan pertahanan, pakar jelaskan keperluan Malaysia

Ketika dron kuasai medan pertahanan, pakar jelaskan keperluan Malaysia

Penganalisis pertahanan berkata pertikaian wilayah dan pencerobohan maritim memerlukan penggunaan dron pengawasan laut, dron bawah air serta ‘bot dron’.

ScanEagle maritime surveillance drones
Dron pengawasan maritim ScanEagle keluaran Boeing dipercayai telah dijual kepada Malaysia, Indonesia, Filipina dan Vietnam. (Gambar Boeing Insitu)
PETALING JAYA:
Malaysia perlu bergerak seiring perkembangan penggunaan dron dalam bidang pertahanan dan keselamatan berdasarkan keperluan sendiri serta landskap pertahanan serantau, kata beberapa pakar.

James Patton Rogers dari Cornell University berkata penggunaan dron dalam peperangan moden kini menjadi faktor penting, khususnya bagi negara yang sebelum ini tidak mempunyai keupayaan kuasa udara akibat kekangan kewangan atau teknikal.

“Dron menggabungkan kos yang relatif rendah dengan akses pasaran komersial, reka bentuk modular dan keupayaan penyesuaian pantas,” katanya kepada FMT.

Menurut beliau, negara serta pihak bukan negara kini boleh memperoleh badan pesawat, sensor, bateri, sistem komunikasi dan komponen perisian AI daripada pasaran komersial sebelum mengubah suainya bagi kegunaan ketenteraan.”

Rogers, yang mengetuai Brooks Tech Policy Institute di Cornell, berkata ada beberapa jenis dron yang amat penting untuk memenuhi keperluan Malaysia, khususnya dalam operasi maritim susulan pertikaian wilayah, pencerobohan dan ancaman lanun.

“Walaupun kita sering bercakap tentang dron kecil jenis quadcopter dan kesannya terhadap pertahanan, bagi Malaysia, dron pengawasan maritim bersayap tetap yang lebih besar, dron bawah air dan ‘bot dron’ mungkin lebih sesuai dengan persekitaran pertahanan rantau ini.

“Dron seperti ini membolehkan tahap kesedaran situasi yang lebih tinggi serta proses membuat keputusan yang lebih pantas di kawasan maritim,” kata Rogers, yang juga pakar dalam peperangan dron dan keselamatan antarabangsa.

Bulan lalu, tentera udara menyempurnakan penerbangan ujian pertama sistem pesawat tanpa pemandu ANKA-THS buatan Turkiye, yang dijangka memperkukuh keupayaan pengawasan strategik di wilayah timur serta kawasan berkepentingan negara lain termasuk Laut China Selatan.

Kenderaan udara tanpa pemandu (UAV) dan sistem anti-dron turut menjadi tumpuan di pameran perdagangan Defence Services Asia dan National Security Asia 2026 apabila syarikat pertahanan mempamerkan teknologi terkini masing-masing.

Kuantiti lebih penting daripada kecanggihan

Penganalisis pertahanan Universiti Malaya, Lam Choong Wah, berkata aset pertahanan secara umumnya perlu dilihat sebagai aset yang boleh ‘dikorbankan’, justeru harga yang mahal tidak semestinya lebih sesuai untuk Malaysia.

Beliau berkata dalam soal dron, Malaysia tidak perlu mengejar sistem paling canggih kerana kosnya mungkin berada di luar kemampuan Putrajaya.

“Kita hanya perlukan aset yang boleh dipercayai, murah dan mudah diganti, iaitu yang mampu dimiliki negara,” katanya sambil merujuk kepada perang Russia-Ukraine dan penggunaan meluas dron yang akhirnya “dihabiskan” dalam konflik tersebut.

“Tidak perlu menggunakan dron bernilai ratusan juta atau puluhan juta dolar untuk memenangi peperangan.”

Lam berkata pameran DSA turut menyaksikan pelbagai teknologi dron serta keupayaan anti-dron dipamerkan, yang kini semakin penting dalam persekitaran pertahanan moden.

Katanya, dron first person view (FPV), yang lazimnya lebih kecil berbanding UAV, sukar dikesan walaupun oleh sistem radar paling canggih kerana keupayaannya terbang pada altitud rendah.

“Saya fikir ramai pembekal dan pengendali pertahanan masih bergelut untuk mencari kaedah paling berkesan bagi menangani ancaman dron. Masih banyak ruang untuk kita menambah baik dalam aspek ini,” katanya.

“Pasaran kini sudah terlalu dipenuhi dron serangan. Kita perlu memberi lebih perhatian kepada sistem pertahanan anti-dron.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.