Anwar hubungi negara sahabat cari jalan selamatkan 10 rakyat Malaysia diculik Zionis

Anwar hubungi negara sahabat cari jalan selamatkan 10 rakyat Malaysia diculik Zionis

Sepuluh rakyat Malaysia antara 175 aktivis Global Sumud Flotila 2.0 yang diculik dan dibawa ke Israel menggunakan kapal laut rejim Zionis.

ANWAR IBRAHIM
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Israel menyerang kapal misi kemanusiaan Global Sumud Flotila sebagai kerja gila dan tidak menghormati prinsip kemanusiaan.
PETALING JAYA:
Anwar Ibrahim berkata, kerajaan telah menghubungi Kementerian Luar Negeri dan negara sahabat bagi mencari jalan penyelesaian segera menyelamatkan 10 peserta Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 dari Malaysia yang diculik serta dibawa ke Israel semalam.

“Mudah-mudahanlah kita sedang ikhtiar. Saya dah hubungi kementerian luar dan kita hubungi negara sahabat. Yang mana saya boleh hubungi, saya akan hubungi insya-Allah,” katanya menurut Bernama selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Iman, Rawang.

Perdana menteri berkata, kerajaan memandang serius insiden itu yang disifatkan tindakan tidak menghormati prinsip kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa.

“Tentunya kita doakan keselamatan, bukan sahaja rakyat Malaysia, tapi rakyat negara lain yang turut ditahan rejim zalim Israel dan kebanyakan mereka itu ditahan di perairan antarabangsa.

“Ini kerja gila dan tidak menghormati langsung prinsip. Ini bukan masuk langgar kawasan Israel lagi, masih kawasan antarabangsa. Demikianlah kezaliman yang berterusan.”

Beliau turut mengecam tindakan provokatif berterusan Israel melancarkan serangan ke atas beberapa wilayah termasuk Gaza, Lubnan dan Iran, serta sengaja menghalang usaha bantuan kemanusiaan.

“Dia (Israel) tak puas hati dengan bunuh wanita dan anak-anak, dia tak puas hati menyerang Iran, menyerang Lubnan, menyerang Gaza dan sekarang orang lain nak bantu, bukan bawa senjata (tetapi) bawa makan, minum dan ubatan dan beberapa kelengkapan pakaian.”

Semalam, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Sani Araby Abdul Alim Araby, memaklumkan 175 aktivis diculik dan dibawa ke Israel menggunakan kapal laut rejim Zionis, termasuk 10 rakyat Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.