38 jam diculik Israel, status keselamatan 10 peserta Malaysia belum diketahui

38 jam diculik Israel, status keselamatan 10 peserta Malaysia belum diketahui

Sumud Nusantara Command Center berkata terdapat maklumat awal semua aktivis akan dibebaskan di Pelabuhan Lerapetra, Pulau Crete, Greece pada 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center Sani Araby Abdul Alim Araby pada sidang media khas perkembangan terkini misi Global Sumud Flotilla 2026 di SNCC, Bangi, hari ini. (Gambar Bernama)
BANGI:
Sumud Nusantara Command Center (SNCC) belum menerima pengesahan rasmi berhubung status keselamatan 175 aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, termasuk 10 rakyat Malaysia selepas 38 jam diculik rejim Zionis di perairan antarabangsa.

Ketua Pengarah SNCC, Sani Araby Abdul Alim Araby, berkata terdapat maklumat awal semua aktivis akan dibebaskan di Pelabuhan Lerapetra, Pulau Crete, Greece pada 12 tengah hari tadi (waktu Malaysia).

“Namun, status terkini belum dapat disahkan melalui saluran rasmi dan juga kumpulan lapangan kita di pelabuhan tersebut,” katanya pada sidang media khas perkembangan terkini misi GSF 2026 di sini.

Beliau berkata, pihaknya telah berhubung dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim yang menyuarakan pendirian tegas dan mengecam tindakan rejim itu kerana melanggar serta mencabul undang-undang antarabangsa.

“(Perdana menteri turut) memberi komitmen berterusan dan maksimal yang sedang digerakkan bagi membebaskan semua tahanan.”

Sani Araby berkata, perdana menteri memaklumkan kerajaan melalui Wisma Putra telah memulakan usaha diplomasi dengan menghubungi Konsul Kehormat Malaysia di Greece serta negara sahabat bagi membantu dan menyelaras proses pembebasan semua aktivis terbabit.

Beliau turut menyeru rakyat Malaysia terus memberi tekanan serta menzahirkan pendirian terhadap isu pencabulan undang-undang antarabangsa oleh rejim Zionis di Gaza dan Palestin.

“SNCC dimaklumkan usaha ditingkatkan bersama kumpulan perundangan dari serata dunia untuk memberi tekanan berterusan kepada pihak rejim melalui usaha kedutaan masing-masing demi hak dibebaskan.

“Kita meminta seluruh rakyat Malaysia berdoa, melakukan solat hajat perdana dan juga menzahirkan apa sahaja yang mampu untuk mencerminkan rasa simpati kepada yang ditahan dan juga rasa marah terhadap pencabulan oleh rejim.”

Beliau meminta Ahli Parlimen blok kerajaan mahupun pembangkang bersatu hati dalam memberi tekanan terhadap tindakan rejim mencabul hak asasi manusia dengan menahan aktivis di perairan antarabangsa.

“Semua perlu bersatu hati dan memberi tekanan sebesar-besarnya kepada pihak rejim dengan menggunakan apa sahaja saluran kerana yang dicabul itu adalah aktivis kemanusiaan…mereka tidak melakukan kesalahan kerana berada di perairan antarabangsa.”

Katanya, tindakan rejim Zionis tidak mematahkan semangat aktivis lain, malah delegasi berada di Greece dan Turki tetap bersemangat serta bersedia meneruskan pelayaran itu.

Sepuluh rakyat Malaysia yang diculik semalam ialah Zainal Rashid Ahmad menaiki kapal Arkham III, Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1), Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN).

Turut terlibat Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi masing-masing dalam kapal Freia serta Marea dan Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai).

Misi GSF 2.0 ialah gabungan maritim antarabangsa dan gerakan mobilisasi global komited memecahkan sekatan ke atas Gaza sebagai tindak balas terhadap krisis kemanusiaan semakin meruncing di wilayah berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.