
Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, berkata ini penyertaan terbesar China, disusuli Turki (87) dan Amerika Syarikat (83). Sebanyak 1,456 syarikat dari 63 negara membuka pavilion dan gerai sepanjang pameran empat hari itu.
Sembilan dewan di tiga tingkat Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (Mitec) dipenuhi pelbagai peralatan serta persenjataan, daripada raifal kepada artileri, dron, kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), pengangkut tentera dan sistem anti-dron.
Di pavilion utama China, Poly Technologies milik Beijing mencuri tumpuan dengan mempamerkan rangkaian sistem pertahanannya, termasuk misil, kapal tentera laut dan sebuah helikopter tanpa pemandu.

Penganalisis pertahanan, Lam Choong Wah, berkata penyertaan China kali ini yang terbesar pernah direkodkan di pameran itu.
Beliau memberitahu FMT, firma China mempamerkan beberapa teknologi moden, manakala syarikat dari negara lain seperti AS dan India lebih kepada persenjataan tradisional.
Namun, berdasarkan perjanjian serta memorandum dimeterai syarikat Malaysia dan Kementerian Pertahanan (Kementah), Malaysia jelas lebih mengutamakan kerjasama dengan syarikat dari negara lain, khasnya negara Barat.
Bagi Kementah, tumpuan diberikan kepada pembangunan industri pertahanan tempatan. Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) dilancarkan tahun lalu untuk meningkatkan kemandirian dalam pertahanan sambil memastikan syarikat tempatan dapat memasuki rantaian bekalan global.
Di DSA, Kementah memeterai 24 inisiatif pertahanan strategik bernilai RM3.54 bilion dengan pelbagai firma tempatan, termasuk anak syarikat Boustead Holdings Bhd dan Lumut Naval Shipyard Sdn Bhd (Lunas).
Tetapi, berdasarkan perjanjian dimeterai secara berasingan oleh syarikat berkenaan di pameran itu, firma asing masih kekal rakan utama bagi syarikat Malaysia, kecuali syarikat dari China.

Boustead memeterai kontrak dengan gergasi penerbangan Eropah Airbus, syarikat UK Submarine Manufacturing & Products Ltd serta Turki Aselsan, manakala syarikat Asia seperti HD Hyundai Heavy Industries Co Ltd dan LIG Defense & Aerospace dari Korea Selatan turut berjaya menandatangani perjanjian dengan firma Malaysia.
Lunas memeterai tujuh memorandum bernilai RM300 juta dengan Hyundai Heavy Industries, firma AS Ocean Infinity, limbungan kapal Belanda Hull Vane BV, Sillinger SAS dari Perancis serta tiga syarikat tempatan.
Sejumlah perjanjian turut ditandatangani dengan firma Turki lain, termasuk CTech, anak syarikat Turkish Aerospace Industries dan AR Eastern Sdn Bhd untuk membekalkan modem komunikasi satelit tahan gangguan.
Roketsan dari Turki menandatangani kontrak bernilai RM369 juta dengan Kementah untuk membekalkan peluru berpandu darat-ke-darat.
Rakan antarabangsa
Lam dari Universiti Malaya berkata, industri pertahanan kecil Malaysia tidak mampu melaksanakan projek besar bersendirian, itu sebabnya mereka perlu bergantung kepada rakan antarabangsa.
Tambahan, pasaran tempatan juga sangat kecil, jadi perlu ada visi menembusi pasaran luar untuk benar-benar membangunkan industri pertahanan tempatan yang besar dan berkeupayaan.
“Apabila membabitkan rakan antarabangsa, terdapat kebimbangan geopolitik yang perlu diambil kira. Ia mungkin aspek terpenting harus dipertimbangkan, mungkin mengatasi kebimbangan teknologi atau kos,” katanya kepada FMT.
Lam yang juga penganalisis dasar luar menegaskan, kerjasama pertahanan walaupun pada dasar syarikat-ke-syarikat tetap membawa maksud wujudnya hubungan pertahanan antara negara dan ia memerlukan tahap kepercayaan politik tertentu.
Walaupun China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia, kerjasama dalam bidang pertahanan dianggap tidak sesuai kerana wujud konflik kepentingan di Laut China Selatan.
Realitinya, beliau berkata, di atas kertas, pegawai pertahanan dan hal ehwal luar Malaysia masih lebih cenderung bekerjasama dengan negara Barat, khasnya AS.
“Retorik politik dan sentimen anti-AS yang kita lihat dalam kalangan ahli politik kita, kadang-kadang hanya untuk politik tempatan, tidak lebih daripada itu.”
Jelasnya, Malaysia menjalin hubungan dua hala dengan AS sejak 1980-an, dengan Washington menghantar bantuan pertahanan bernilai jutaan dolar kepada Putrajaya setiap tahun. Ini turut memudahkan pertukaran pengalaman dan pengetahuan ketenteraan.
Menurut laporan pada 2022, AS menyalurkan hampir USD230 juta (RM1 bilion ketika itu) dalam bentuk bantuan pertahanan kepada Malaysia sejak 2018, termasuk latihan ketenteraan dan program pertukaran.
Pada 2024 saja, Washington menyalurkan bantuan kira-kira USD10.2 juta kepada Malaysia, dengan USD1.86 juta daripadanya diperuntukkan khas untuk bantuan keselamatan.
Lam berkata, Malaysia menghantar pegawai tenteranya ke akademi ketenteraan elit AS seperti West Point untuk menjalani latihan setiap tahun.
“Saat Malaysia mula menandatangani perjanjian pertahanan besar dengan China, bantuan itu akan tamat.”
Tegasnya, AS sekutu terpenting Malaysia dalam konteks Laut China Selatan, di mana latihan bersama tahunan dengan tentera AS memfokuskan kemungkinan pencerobohan China ke atas Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals), kawasan kaya dengan sumber yang terletak di luar pantai Sarawak.