Dasar ‘non-alignment’ jadikan Malaysia rakan pertahanan tak rumit, kata PM

Dasar ‘non-alignment’ jadikan Malaysia rakan pertahanan tak rumit, kata PM

Anwar Ibrahim berkata pendirian neutral dan dasar konsisten negara meningkatkan daya tarikan Malaysia di tengah-tengah ketegangan global.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Malaysia terus menarik keyakinan pelabur ketika keadaan global mengubah pasaran, menyebabkan kenaikan harga tenaga dan aliran modal keluar daripada sesetengah ekonomi.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mempelawa syarikat pertahanan global terkemuka bekerjasama dengan pengeluar Malaysia kerana dasar ‘active non-alignment’ negara menjadikannya rakan kongsi “tidak rumit” dan menarik secara komersial.

Beliau berkata, keupayaan Malaysia mengekalkan hubungan kerjasama baik dengan pelbagai rakan strategik utama memberi kelebihan kepada pembekal ketika geopolitik global semakin merumitkan keputusan rantaian bekalan.

“Pembekal Malaysia memasuki rantaian bekalan tanpa komplikasi politik yang sering menyebabkan keputusan begitu sukar di tempat lain.

“Dalam persekitaran semasa, itu pertimbangan komersial sebenar,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (Natsec) Asia 2026.

Anwar berkata, Malaysia terus menarik keyakinan pelabur ketika keadaan global – termasuk perang di Timur Tengah – mengubah pasaran, menyebabkan kenaikan harga tenaga dan aliran modal keluar daripada sesetengah ekonomi.

“Dana global membeli lebih USD2 bilion bon di Malaysia, aliran masuk tertinggi dalam tempoh 10 bulan.

“Ringgit adalah mata wang berprestasi terbaik di Asia selama dua tahun berturut-turut. Ekonomi kita berkembang 5.2% tahun lalu,” katanya sambil menambah Malaysia turut menarik tahap pelaburan tertinggi, didorong sektor pembuatan, semikonduktor dan aeroangkasa.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, semua pencapaian itu tidak berlaku tanpa usaha, sebaliknya hasil pembaharuan dasar dan libat urus berterusan dengan syarikat serta pengurus dana.

Jelasnya, sebuah syarikat pertahanan Malaysia mencapai status pembekal Tier 1 dengan sebuah pengeluar enjin aero global terkemuka.

Beliau tidak menamakan syarikat itu, tetapi dipercayai merujuk kepada UMW Aerospace, satu-satunya syarikat tempatan yang berjaya mencapai status pembekal Tier 1.

Anwar turut memberi jaminan kepada pemain industri bahawa kerajaan akan memainkan peranan aktif dalam melindungi harta intelek pelabur, manakala kawalan perdagangan strategik akan dikuatkuasakan serta kontrak dipertahankan.

“Undang-undang akan terpakai kepada semua pihak dengan cara sama, tanpa pengecualian.

“Jika ada sesuatu tidak berfungsi, jika proses itu menimbulkan masalah di tempat tidak sepatutnya atau penguatkuasaan tidak memadai, beritahu kami segera. Kami akan bertindak.”

DSA serta Natsec 2026 yang memasuki edisi ke-19 akan berlangsung hingga Khamis ini di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia, menghimpunkan 1,456 syarikat pertahanan dan keselamatan dari 63 negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.