40% pengeluar hadapi kekurangan bahan mentah, kata FMM

40% pengeluar hadapi kekurangan bahan mentah, kata FMM

Presiden FMM Jacob Lee berkata beberapa syarikat mula kurangkan operasi akibat kekurangan bahan mentah susulan konflik di Timur Tengah.

Persekutuan Pekilang Malaysia berkata syarikat dengan stok terhad mungkin terpaksa menghentikan pengeluaran dalam tempoh sebulan atau dua, jika terus berdepan kekurangan bahan mentah.
SUNGAI BULOH:
Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) memberi amaran kira-kira 40% pengeluar tempatan terpaksa mengurangkan pengeluaran akibat kekurangan bahan mentah susulan konflik di Timur Tengah.

Presiden FMM, Jacob Lee, berkata tinjauan dalamannya ke atas 222 ahlinya mendapati keadaan bertambah buruk sejak sebulan lalu dan beberapa syarikat mula mengurangkan operasi.

“Ada yang mengesahkan mereka akan mengurangkan waktu pengeluaran. Dalam tempoh sebulan atau dua, jika bekalan tidak bertambah baik, mereka yang mempunyai stok terhad mungkin terpaksa menghentikan pengeluaran.”

Bagi mengurangkan kesan itu, Lee berkata, FMM menggesa syarikat meneroka sumber bahan mentah alternatif.

Beliau turut menggesa syarikat mengamalkan langkah penjimatan kos dan penyesuaian, seperti memasang panel solar untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan beroperasi di luar waktu puncak ketika permintaan bekalan elektrik lebih rendah.

Katanya, FMM akan membentangkan hasil tinjauan selanjutnya kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Johari Abdul Ghani pada Rabu ini.

Beliau berucap dalam Forum Perindustrian Malaysia-Hong Kong anjuran FMM, inisiatif untuk menyatukan pemain industri, pembuat dasar dan pakar teknologi sambil membantu syarikat Malaysia menerima pakai automasi, mendapatkan jentera lebih murah serta mengembangkan rangkaian mereka.

Turut hadir Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Sin dan Pengerusi Majlis Produktiviti Hong Kong Sunny Tan, antara wakil perdagangan lain.

Bekalan bahan mentah global terjejas akibat trafik maritim sempit di Selat Hormuz, titik laluan penting bagi penghantaran tenaga dan komoditi global.

Akibatnya, industri bergantung kepada import dari Timur Tengah seperti plastik, bahan kimia dan logam berdepan kekurangan bekalan, dengan kelewatan dan peningkatan kos didorong perbelanjaan pengangkutan, insurans serta keselamatan lebih tinggi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.