Naib presiden AS ke Pakistan rundingan damai Iran

Naib presiden AS ke Pakistan rundingan damai Iran

JD Vance jangka rundingan itu positif dan membina.

JD Vance
Naib Presiden JD Vance, berkata kemajuan rundingan bergantung kepada niat Iran. (Gambar EPA Images)
ISTANBUL:
Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) JD Vance berlepas ke Pakistan bagi mengetuai rundingan damai dengan Iran, sambil menyatakan harapan agar rundingan itu membuahkan hasil ‘positif’, menurut rakaman video di akaun YouTube DRM News.

Bercakap sebelum berlepas, Vance berkata delegasi AS ‘menantikan rundingan itu’ dan berharap perbincangan itu akan menghasilkan sesuatu membina, lapor Anadolu Ajansi.

“Saya berpendapat ia akan menjadi positif,” katanya sambil menekankan kemajuan bergantung kepada pendekatan diambil Iran di meja rundingan.

“Jika pihak Iran bersedia untuk berunding dengan niat baik dan menghulurkan tangan terbuka, (bekerjasama), itu satu perkara baik,” kata Vance.

“Namun, jika mereka cuba mempermainkan kita, mereka akan dapati pasukan perunding kami tidak akan menerimanya,” katanya lagi.

Vance turut menyatakan pendirian AS dipandu arahan jelas Rumah Putih. “Presiden telah memberikan garis panduan yang cukup jelas kepada kami, dan kita akan lihat bagaimana ia berkembang nanti,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.