Iran beri amaran akan sasar kapal tentera asing campur tangan di Hormuz

Iran beri amaran akan sasar kapal tentera asing campur tangan di Hormuz

Iran berkata semua kapal dagang, kapal dan kapal tangki minyak dikehendaki melalui laluan ditetapkan serta mendapatkan kebenaran Tentera Laut IRGC.

Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya Iran berkata pengurusan Selat Hormuz sedang dijalankan ‘dengan kuasa penuh’ angkatan tentera negara itu. (Gambar AFP)
ISTANBUL:
Iran pada Sabtu memberi amaran kepada mana-mana kapal tentera cuba campur tangan dalam pengurusan Selat Hormuz atau mengganggu trafik maritim akan menjadi sasaran angkatan tentera negara itu, lapor Anadolu Ajansi.

Penyiar rasmi Iran, IRIB memetik kenyataan dikeluarkan Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya Iran, markas tentera bersama tertinggi negara itu yang menyelaras operasi angkatan tentera dan Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).

Menurutnya, pengurusan laluan air strategik itu sedang dijalankan “dengan kuasa penuh” angkatan tentera Republik Islam Iran.

Katanya, semua kapal dagang, kapal dan kapal tangki minyak dikehendaki melalui laluan ditetapkan serta mendapatkan kebenaran Tentera Laut IRGC.

Ia memberi amaran pelanggaran peraturan itu akan menyebabkan keselamatan kapal dalam risiko serius.

Kenyataan itu turut memberi amaran kepada kapal tentera asing supaya tidak campur tangan dalam pengurusan Selat Hormuz oleh Iran atau mengganggu pelayaran di laluan air berkenaan.

“Sebarang percubaan oleh kapal tentera untuk campur tangan dalam pengurusan Selat Hormuz atau mengganggu pelayaran akan menjadi sasaran angkatan tentera Republik Islam Iran.”

Selat Hormuz yang terletak antara Iran dan Oman, merupakan salah satu laluan maritim terpenting di dunia serta laluan bagi sebahagian besar penghantaran minyak global dan gas asli cecair (LNG).

Terdahulu, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth pada Sabtu menolak dakwaan Iran bahawa negara itu menguasai Selat Hormuz dengan berkata: “Mereka mahu kata mereka mengawal selat itu, tetapi kamilah yang mengawalnya.”

Beliau berkata, perkembangan di sebalik tabir dan perjalanan rundingan menunjukkan AS kekal menguasai laluan air strategik itu.

Ketegangan serantau meningkat sejak AS dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Februari lalu. Tehran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan menyasarkan Israel serta sekutu AS di Teluk, selain menutup Selat Hormuz.

Gencatan senjata berkuat kuasa 8 April lalu menerusi pengantaraan Pakistan, sebelum dilanjutkan tanpa had masa oleh Presiden AS, Donald Trump.

Selepas rundingan menemui jalan buntu di bawah pengantaraan Islamabad, AS mengenakan sekatan ke atas pelabuhan Iran sejak 13 April lalu, termasuk di sepanjang Selat Hormuz.

Usaha pengantaraan masih diteruskan bagi menamatkan konflik itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.