Kekurangan doktor di Sabah perlu autonomi, pembaharuan menyeluruh

Kekurangan doktor di Sabah perlu autonomi, pembaharuan menyeluruh

Badan pemikir kata tawaran jawatan tetap tidak lagi memadai manakala MMA berkata isu imbuhan dan latihan perlu penyelarasan.

doctor
Kurangnya sokongan kebajikan termasuk insentif tidak sepadan dengan kos sara hidup antara isu menyumbang kepada kekurangan doktor di Sabah.
PETALING JAYA:
Badan pemikir menggesa Sabah menuntut autonomi berhubung pengambilan kakitangan perubatan serta penempatan mereka, bagi menangani masalah kekurangan doktor, seperti dilakukan Sarawak.

Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berpandangan, model semasa terlalu lambat dan kaku untuk menangani realiti di Sabah, menegaskan tawaran jawatan tetap tidak lagi memadai lantaran ‘kegagalan struktur’.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Azrul Mohd Khalib, isu di Sabah ialah penempatan yang tidak sesuai dan arahan perpindahan wajib saat akhir.

Turut menjadi isu beban kerja melampau, kurangnya sokongan kebajikan termasuk insentif yang tidak sepadan dengan kos sara hidup, dan kesukaran berkhidmat di lapangan.

“Jika kerajaan serius mahu selesaikan krisis tenaga kesihatan di negeri itu, Sabah perlu diberi kuasa membuat keputusan yang lebih cepat, fleksibel, dan berpaksikan keperluan tempatan,” katanya kepada FMT.

Pada 11 April lalu, Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Julita Majungki, mendedahkan negeri itu hanya mempunyai 2,884 doktor — jauh tersasar daripada keperluan sebenar yang dianggarkan sekitar 9,000 orang.

Sementara itu di Sarawak, Timbalan Premier Sim Kui Hian pada Januari menegaskan autonomi kesihatan bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) perlu dipercepat tanpa terikat dengan birokrasi persekutuan, bagi membolehkan pengurusan kesihatan diambil alih secara berperingkat oleh kerajaan negeri.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, situasi di Sabah gambaran jelas kegagalan dasar dalam perancangan tenaga kerja dan insentif, yang menurut Presiden Dr R Thirunavukarasu telah lama wujud.

Katanya, menangani situasi di Sabah memerlukan pembaharuan struktur yang menyeluruh, dan bukannya langkah penyelesaian jangka pendek.

“Krisis ini hasil daripada dasar yang tidak selaras dan kegagalan untuk mengekalkan doktor dalam sistem awam. Kita perlu membina sistem yang mendorong mereka untuk berkhidmat — dan terus kekal,” katanya.

Thirunavukarasu berkata, wujud keperluan pendekatan ‘rentas kerajaan’, yang mana Kementerian Kesihatan perlu bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan bagi menyelaraskan isu imbuhan serta latihan.

Sementara itu, Pengerusi MMA Sabah, Dr Brandon Patrick Senagang, mendedahkan motivasi doktor terjejas teruk susulan pengurangan drastik bayaran insentif wilayah.

Malah, beliau berkata ketiadaan kenaikan elaun sara hidup bagi kakitangan di pedalaman menyebabkan ramai pegawai perubatan tawar hati.

“Keadaan ini diburukkan lagi dengan prasarana daif. Masih banyak kawasan tidak mempunyai akses jalan raya baik, selain kekurangan kemudahan asas seperti elektrik dan air yang konsisten,” katanya.

Katanya, kekurangan tenaga kerja kritikal di beberapa fasiliti seperti Hospital Kinabatangan mencetuskan isu ‘burnout’ yang serius sehingga doktor tidak lagi mampu mengambil cuti sewajarnya.

Beliau menggesa kerajaan mewujudkan laluan kerjaya lebih telus termasuk pemberian kuota khas bagi program kepakaran buat doktor yang berkhidmat di kawasan kurang liputan di Sabah dan Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.