Geran khas interim Sabah naik kepada RM1.5 bilion

Geran khas interim Sabah naik kepada RM1.5 bilion

Kadar pemberian khas kerajaan kepada Sabah sebelum ini ialah RM600 juta.

anwar ibrahim
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata jumlah itu bersifat interim kerana perbincangan mengenai jumlah sebenar pemberian berdasarkan tuntutan 40% hasil Sabah perlu dimuktamadkan melalui rundingan kerajaan persekutuan dan negeri. (Gambar Bernama)
PENAMPANG:
Geran khas interim bagi Sabah dinaikkan kepada RM1.5 bilion berbanding RM600 juta sementara menunggu kaedah pelaksanaan tuntutan 40% hasil negeri itu dimuktamadkan seperti dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, jumlah itu hanya bersifat interim kerana perbincangan mengenai jumlah sebenar pemberian berdasarkan tuntutan 40% hasil Sabah masih perlu dimuktamadkan melalui rundingan kerajaan persekutuan dan negeri.

“Soal 40% (hasil Sabah) walaupun dikatakan keadaan kewangan 112D (mekanisme semakan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan), bagi saya tutup. Jangan orang pertikai keputusan kita untuk melaksanakan janji ini.

“Sama (ada) yang dibuat bulan Jun atau Disember, itu harus diputuskan dua-dua jawatankuasa dan kemudian dibawa kepada kerajaan negeri di peringkat tertinggi dan perundingan antara persekutuan dan negeri,” katanya berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di sini.

Turut hadir Ketua Menteri Hajiji Noor, Timbalan Ketua Menteri I Joachim Gunsalam yang juga pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Sabah 2026 serta Presiden KDCA Joseph Pairin Kitingan.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata, komitmen berkaitan pembayaran hasil 40% itu telah dibawa ke Jemaah Menteri dan diumumkan secara rasmi di Parlimen, namun cabaran ketika ini lebih tertumpu kepada kaedah pelaksanaannya.

Justeru, beliau mengamanahkan Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican untuk memperincikan rundingan bersama kerajaan Sabah.

Menurutnya, rundingan itu perlu dilaksanakan secara teliti memandangkan setiap keputusan membabitkan MA63 memberi implikasi secara langsung kepada Sabah, Sarawak serta negeri lain di Semenanjung.

“Keputusan (ini) terkait dengan perjanjian 1963. Jadi tiap keputusan kita, jumlahnya itu harus dicerakin dengan terperinci dan ia mengambil masa sedikit, tetapi tidak akan menolak bahawa dana harus diberikan.”

Menepis tanggapan segelintir pihak mendakwa Sabah terus diabaikan, Anwar berkata, hasil kutipan kerajaan persekutuan daripada Sabah sekitar RM10 bilion setahun, namun dana peruntukan perbelanjaan pembangunan yang disalurkan semula lebih besar, iaitu RM17 bilion.

Katanya, Putrajaya turut menjangkakan subsidi petrol, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) untuk Sabah meningkat kepada RM3 billion tahun ini berbanding RM1 billion tahun lalu susulan krisis bekalan global.

Tegasnya, pendedahan angka itu bukan bagi menafikan hak 40% hasil Sabah, sebaliknya untuk memberi gambaran sebenar kepada rakyat supaya tidak terpengaruh sentimen politik tidak bertanggungjawab.

“Walaupun berdepan peningkatan kos melambung, kerajaan Madani kekal komited mempertahankan harga bahan api, khususnya petrol RON95 pada paras terendah di dunia demi menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat.

“Jangan nafikan (usaha kerajaan persekutuan) seolah-olah kita dianiaya, dianaktirikan, disengsarakan. Ini politik picisan. Tidak akan membawa semangat perpaduan kita. Itu politik satu penipuan fakta. Hanya untuk mencari dukungan suku-suku kaum itu. Tidak berdasarkan fakta.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.