Bayaran interim RM1.5 bilion pencapaian besar buat Sabah, kata Mustapha

Bayaran interim RM1.5 bilion pencapaian besar buat Sabah, kata Mustapha

Menteri Sabah dan Sarawak berkata, kenaikan bayaran pemberian khas itu bukti tuntutan hak Sabah terus diberi perhatian oleh kerajaan persekutuan.

MUSTAPHA SAKMUD - DEPUTY MINISTER - MSU
Mustapha Sakmud berkata, pengumuman berhubung bayaran interim Pemberian Khas Sabah dibuat perdana menteri itu bukti komitmen kerajaan persekutuan dalam menangani tuntutan hak Sabah secara berperingkat, tersusun dan bertanggungjawab.
PETALING JAYA:
Kenaikan bayaran interim Pemberian Khas Sabah kepada RM1.5 bilion merupakan satu pencapaian besar bagi negeri itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud.

Beliau berkata, pengumuman dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu membuktikan komitmen kerajaan persekutuan dalam menangani tuntutan hak Sabah secara berperingkat, tersusun dan bertanggungjawab.

Beliau mengingatkan, sebelum pemerintahan kerajaan Madani, Sabah hanya menerima kira-kira RM26.7 juta setahun selama berdekad-dekad, walaupun tuntutan 40% hasil termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Namun di bawah pentadbiran Anwar kita menyaksikan peningkatan yang amat ketara dari tahun ke tahun, iaitu dari RM125.6 juta pada 2022, (hinggalah) RM600 juta, beserta pengumuman kenaikan pembayaran interim RM1.5 bilion pada 2026.

“Peningkatan secara konsisten ini membuktikan bahawa suara dan tuntutan rakyat Sabah bukan sahaja didengari, malah diberikan perhatian serius oleh kerajaan persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Penampang hari ini, Anwar mengumumkan bayaran interim Pemberian Khas Sabah dinaikkan daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion sementara rundingan berhubung tuntutan 40% hasil negeri itu diteruskan.

Dalam pada itu, Mustapha menegaskan, perjuangan menuntut hak Sabah akan diteruskan sehingga penyelesaian yang lebih menyeluruh dan muktamad dapat dicapai selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

“Kita mahukan pendekatan yang matang, berhemah dan berpandangan jauh demi memastikan hak Sabah dapat direalisasikan tanpa menjejaskan kestabilan dan hubungan baik dalam Persekutuan Malaysia.

“Saya yakin, di bawah kepimpinan Anwar dan semangat Malaysia Madani, agenda memperkasa Sabah dan Sarawak akan terus menjadi keutamaan kerajaan persekutuan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.