
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan mengecam amalan itu, di mana ada syarikat yang sepatutnya membeli bahan api pada harga pasaran, bertindak membelinya pada harga pam yang bersubsidi.
“Kerajaan memberi amaran kepada syarikat-syarikat ini untuk menghentikan aktiviti ‘channel switching’ atau berdepan dengan tindakan penguatkuasaan,” katanya ketika taklimat krisis tenaga global.
Amir berkata, jurang harga antara kadar pasaran dengan diesel bersubsidi menjadikan amalan sedemikian secara ‘diam-diam’ dilakukan, namun beliau menegaskan ia memberi tekanan tambahan kepada kewangan awam.
“Harga pasaran RM7.00 hingga RM8.00 adalah jauh lebih tinggi, berbanding dengan harga diesel di stesen minyak pada RM6.72 yang sebahagian daripada kosnya masih lagi diserap oleh kerajaan,” katanya.
Beliau turut menyuarakan penghargaan kepada orang ramai kerana melaporkan salah laku kepada pihak berkuasa, termasuk kes melibatkan warga asing membeli petrol RON95 secara haram.
“Semangat kebersamaan inilah yang membantu kita dalam menghadapi krisis.”
Tindakan tegas berkenaan diambil mengambil kira beban subsidi bahan api kerajaan melonjak susulan kenaikan harga minyak global, didorong gangguan bekalan kesan konflik di Timur Tengah.