Kedaulatan Negeri Sembilan: Antara Perlembagaan, realiti adat

Kedaulatan Negeri Sembilan: Antara Perlembagaan, realiti adat

Melihat kedaulatan Negeri Sembilan secara linear melalui kanta monarki mutlak satu bentuk pengabaian terhadap teks Perlembagaan dan realiti adat.

Istana Seri Menanti

Artikel bertajuk ‘Ilusi pemerintahan bersama dalam kalangan pemegang amanah’ oleh ‘Anak Nogori’ yang diterbitkan di FMT baru-baru ini membuka semula perdebatan mengenai dinamika kuasa diraja di Negeri Sembilan.

Penulis asal berhujah bahawa meletakkan Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin setaraf dengan Yang di-Pertuan Besar adalah satu kesilapan tafsiran undang-undang, malah melabelkan kedudukan Ketua Luak sekadar ‘rakyat biasa’ adalah sangat tersasar dan bersifat menghina institusi beraja dalam negara tanpa asas yang kukuh.

Dalam melihat kedaulatan Negeri Sembilan secara linear melalui kanta monarki mutlak bukan sahaja mengabaikan sejarah, dan merupakan satu bentuk pengabaian terhadap teks Perlembagaan dan realiti Adat di Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan tidak pernah dibina atas asas penaklukan. Sebaliknya ia berdiri atas falsafah muafakat yang diterjemahkan melalui ungkapan, ‘Alam Beraja, Luak Berundang’. Menafikan elemen ‘pemerintahan bersama’ (co-rulership) dalam konteks fungsi antara Raja dan Undang Yang Empat adalah satu percubaan yang tersasar dan terpesong daripada fakta perundangan dan sejarah.

Kedaulatan dan prerogatif institusi Beraja di Negeri Sembilan

Hujah utama yang menyanggah dakwaan bahawa Ketua Luak hanyalah ‘rakyat biasa’ terletak pada jaminan kedaulatan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Melalui Perkara 181(1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memelihara kedaulatan, prerogatif, kuasa, dan bidang kuasa Raja-Raja Melayu serta Ruling Chiefs (Pembesar-Pembesar Memerintah Negeri Sembilan) bagi Negeri Sembilan sepertimana yang telah wujud sebelum Merdeka telah terpakai dan kekal sehingga ke hari ini.

Peruntukan ini amat signifikan dari sudut Perlembagaan. Istilah Ruling Chiefs yang merujuk kepada Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin diletakkan bersebelahan dan setaraf dari segi perlindungan perlembagaan dengan institusi Raja-Raja Melayu yang lain.

Perlembagaan Persekutuan secara nyata mengiktiraf bahawa kedaulatan tradisi dan prerogatif di Negeri Sembilan tidak bersifat monolitik di tangan seorang individu, melainkan dikongsi bersama para Pembesar Yang Memerintah mengikut sempadan luak masing-masing.

Perkara 71 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan telah menjamin kedudukan pembesar memerintah bagi Negeri Sembilan terpakai bagi Raja sesuatu Negeri. Malahan, tafsiran Raja dalam Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan termasuk Yang di-Pertuan Besar dan Pembesar-Pembesar Negeri atau Ruling Chiefs dalam konteks Negeri Sembilan.

Ini secara jelas menunjukkan pengiktirafan instusi beraja Negeri Sembilan tidak bersifat tunggal tetapi bersama-sama memerintah. Ini menjadi keunikan dalam sistem beraja di Negeri Sembilan yang kurang difahami ramai sehingga pernah menimbulkan salah faham dengan kenyataan pihak tertentu yang mencetuskan polemik satu ketika dahulu.

Undang Yang Empat memegang kuasa eksklusif untuk memilih Yang di-Pertuan Besar. Sekiranya berlaku pelanggaran berat, Undang Yang Empat boleh menurunkan Yang di-Pertuan Besar dari takhta seperti terdapat dalam Fasa 10 Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan 1959 dengan persetujuan menteri besar selepas siasatan penuh dan secukupnya dilakukan oleh Undang Yang Empat.

Keengganan menteri besar menandatangani proklamasi tersebut telah menjadi polemik perlembagaan sehingga hari ini.

Bagaimanapun, dari sudut prinsip undang-undang, entiti yang dijamin kekuasaan tradisinya oleh Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan 1959 serta bertindak sebagai kingmakers dengan kuasa melantik Yang di-Pertuan Besar tidak boleh sesekali dikategorikan sebagai ‘rakyat biasa’ seperti dinyatakan dalam penulisan berkenaan.

Dari sudut sejarah, pernah berlaku peristiwa penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar seperti yang berlaku kepada Yamtuan Laboh dan konflik penolakan yang berlaku pada zaman Tuanku Antah.

Kedua-dua peristiwa ini menjadi asas pembentukan Fasa 10 Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan 1959. Undang Yang Empat juga tidak perlu memaklumkan secara terbuka sebab-sebab penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar sebagaimana juga tidak perlu menyatakan sebab-sebab pemilihan Yang di-Pertuan Besar yang baharu memandangkan ini merupakan kuasa prerogatif Undang Yang Empat.

Piagam muafakat Negeri Sembilan: Perjanjian 1895, 1898, dan 1934

Dari dimensi sejarah, institusi beraja di Negeri Sembilan dibentuk atas prinsip konfederasi dan perkongsian kuasa, bukannya penyerahan kalah.

Berikut adalah contoh-contoh perjanjian lama yang terpakai sehingga hari ini berdasarkan kepada Fasal 32 Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan 1959 yang mengiktiraf perjanjian lama selagi tidak bertentangan dengan undang-undang moden termasuk Perlembagaan Persekutuan.

  • Perjanjian Pembentukan Konfederasi 1895: Menunjukkan pembentukan kerajaan Negeri Sembilan moden lahir daripada kesediaan para Undang Yang Empat menyatukan luak autonomi mereka.
  • Perjanjian 1898: Menegaskan bahawa jawatan Yang di-Pertuan Besar bagi seluruh Negeri Sembilan tidak wujud secara automatik melalui warisan mutlak, tetapi diwujudkan melalui pemilihan oleh para Undang Yang Empat.
  • Perjanjian 1934: Memperincikan garis pemisah antara kuasa eksekutif negeri dan kuasa adat wilayah, sekaligus mengesahkan kedaulatan negeri tidak bersifat monolitik.

Tanpa tandatangan para Undang Yang Empat dalam siri perjanjian bersejarah ini, takhta tertinggi Negeri Sembilan hari ini tidak akan wujud dalam bentuknya yang sekarang.

Kedaulatan Yang di-Pertuan Besar dan Keandikaan Undang Yang Empat

Menilai Negeri Sembilan tanpa memahami falsafah Adat Perpatih akan melahirkan kesimpulan yang cacat. Sistem ini mengamalkan struktur kepimpinan dari bawah ke atas, seperti mana madah adat: Lembaga bertali ke Undang, Undang bertali ke Keadilan (Raja).

Yang di-Pertuan Besar mempunyai kedaulatan di peringkat negeri, manakala Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin mempunyai keandikaan yang memegang hierarki kuasa wilayah dan pentadbiran adat (jurisdiction) di luak masing-masing.

Ungkapan ‘Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah’ membuktikan bahawa kepatuhan dalam sistem ini adalah bersyarat.

Jika berlaku pelanggaran perlembagaan, tindakan institusi Luak bukanlah satu ‘penderhakaan’, melainkan mekanisme perlindungan perlembagaan (constitutional safeguards) menerusi semak dan imbang dilaksanakan bagi memastikan keadilan terpelihara.

Kesimpulan

Naratif artikel asal yang cuba memperkecilkan peranan Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin adalah satu percubaan semberono dan memesongkan realiti sejarah dan perundangan negara.

Harus diingat peranan Undang yang Empat dan Tunku Besar Tampin adalah sangat penting dan bersama-sama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah menandatangani Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 yang menjadi asas kemerdekaan kepada negara.

Ketegangan dinamik antara Istana dan Luak bukanlah isyarat krisis semata-mata, melainkan bukti bahawa sistem semak dan imbang di Negeri Sembilan masih hidup dan matang.

Hubungan antara Yang di-Pertuan Besar dan Undang Yang Empat bersama Tunku Besar Tampin bukanlah hubungan bersifat subordinat, melainkan sebuah ikatan simbiotik, ’bagaikan aur dengan tebing’ yang diikat kukuh oleh Perkara 181 Perlembagaan Persekutuan dan Bab 3 dan Bab 5 Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan 1959.

Ia menuntut kedua-dua pihak saling menghormati sempadan kuasa masing-masing demi kestabilan negeri dan kesejahteraan rakyat.

 

Ikmal Hisham Md Tah mengajar Undang-Undang Perlembagaan di Universiti Teknologi Mara dan Mohd Khairil Hisham Mohd Ashaari merupakan kurator di Galeri Tuanku Jaafar Negeri Sembilan serta penulis buku ‘The Legacy of Yamtuan Antah: Unity and Leadership.’

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.