
Walaupun situasi ‘kerusi berirama’ melibatkan ketua Luak di Negeri Sembilan mungkin kelihatan agak luar biasa, sejarah mengingatkan kita transisi sedemikian bukanlah perkara baharu. Dari Johol sehingga ke Sungei Ujong sendiri, lembaran sejarah kita penuh dengan kisah penggantian dan penyusunan semula kepimpinan adat sedemikian.
Namun, terdapat perbezaan ketara yang amat membimbangkan apabila kita membuat perbandingan antara situasi sekarang dengan masa lalu. Pada masa lepas, walaupun terdapat pergeseran dalaman mana-mana Luak, kelihatannya tidak berlaku hakisan intelektual. Apa jua yang berlaku di dalam Luak, tetap kekal di dalam Luak. Wujud satu garisan sempadan adat—bahawa pertikaian dalaman mana-mana Luak adalah urusan mereka sendiri untuk diselesaikan dengan tahap ketegasan intelektual dan adab beradat yang memelihara maruah Luak tersebut.
Bahkan, kita pernah menyaksikan situasi penyandang jawatan ketua Luak disingkirkan oleh Luaknya sendiri. Namun, dalam keadaan tersebut, pemimpin Luak yang tersingkir tersebut tidak pula cuba untuk mencabar Raja Melayu yang sedang bertakhta–yang pastinya merupakan satu tindakan bukan sahaja mengingkari graviti adat (un-Adat) tetapi juga sangat serius di sisi undang-undang. Mereka yang tersingkir ketika itu juga tidak pula mengheret seluruh Negeri Sembilan ke dalam kancah ketidakstabilan hanya kerana keengganan untuk menerima hakikat bahawa mereka telah disingkirkan oleh Luak sendiri. Pada masa itu kelihatannya masih terdapat integriti intelektual sehingga ketua Luak lain tetap menahan diri daripada mencampuri urusan Luak lain yang tiada kena mengena dengan mereka. Prinsip ‘menjaga tepi kain sendiri’ kelihatannya tetap dipegang pada masa lalu.
Bagaimanapun hari ini, kita berdepan realiti amat berbeza. Percubaan untuk menurunkan Raja Melayu yang dilindungi oleh kedua-dua Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri—tanpa sebarang justifikasi—telah melampaui batas pertikaian adat biasa (un-Adat) dan melangkah ke alam derhaka.
Tidak cukup dengan itu, kerajaan negeri diheret pula ke mahkamah sivil yang merupakan satu perjudian berisiko tinggi yang boleh menggugat autonomi Adat Perpatih itu sendiri.
Lebih memburukkan lagi keadaan, situasi kini menyaksikan pula entiti politik telah turut cuba mencampuri urusan berkaitan Luak ini. Dengan cubaan membesarkan pertikaian dalaman mana-mana Luak sehingga menjadi satu krisis politik nasional, hanya merupakan satu hakisan tradisi demi kepentingan sendiri dan politik kepartian.
Oleh itu, sudah tiba masa untuk kita melangkah ke hadapan dan menutup lembaran yang amat memalukan ini. Ini bukanlah satu pertandingan untuk melihat Luak manakah yang boleh membuat persembahan hiburan terbaik kepada negara; ini adalah soal maruah Negeri Sembilan yang kita sayangi.
Kepada Luak Sungei Ujong–lembaran yang lama harus ditutup segera. Isu dalaman berbangkit berhubung pemilihan ketua Luak yang baharu mestilah dimuktamadkan segera. Pastikan juga permasalahan Luak anda kekal terhad di dalam sempadan Luak anda sendiri. Pertikaian dalaman Luak anda tidak sepatutnya dibiarkan sehingga menggugat kestabilan seluruh Negeri Sembilan. Sedarlah bahawa cubaan untuk menurunkan Raja Melayu atau memaksa pertukaran menteri besar tidak akan menyelesaikan pertikaian dalaman mana-mana Luak. Bahkan, tindakan sedemikian hanya akan menukarkan masalah dalaman Luak anda menjadi perbuatan derhaka dan seterusnya mengundang ketidakstabilan negeri, yang tidak menyelesaikan apa-apa jua pun dan bahkan menggadaikan segalanya.
Kepada ketua Luak lain (termasuk yang tidak diwartakan)–jika tidak dapat menahan diri daripada mencampuri urusan Luak lain, dan memandangkan telah pula mengambil bahagian dalam cubaan derhaka untuk menurunkan Raja Melayu yang dilindungi oleh perlembagaan, jalan paling patriotik dan terhormat untuk mengelakkan penghinaan berterusan terhadap negeri kita adalah dengan meletakkan jawatan. Hanya dengan cara itu sajalah dapat dibuktikan masih ada rasa hormat kepada rakyat, dengan melepaskan imbuhan lima angka serta pelbagai keistimewaan jawatan tersebut—termasuk kediaman yang ditaja kerajaan sepenuhnya, kenderaan berbendera, pengiring bermotosikal, dan petrol percuma.
Kepada semua Luak lain: Sebelum memandang sinis terhadap Sungei Ujong, lihatlah cermin. Walaupun proses yang mereka laksanakan kelihatan amat dramatik, sekurang-kurangnya mereka mempunyai keberanian untuk mengambil tindakan terhadap penyandang jawatan yang telah gagal dalam ujian integriti. Persoalannya kini, adakah Luak lain mempunyai keberanian sama, dan secebis kesetiaan kepada seorang Raja Melayu yang merupakan cucunda kepada Yang di-Pertuan Agong pertama?
Anak Negeri ialah pembaca FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.