
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata tempoh itu berfungsi sebagai ‘tempoh percubaan politik’ untuk menilai sejauh mana kedua-dua gabungan mampu mengurus perbezaan dalam kerajaan negeri.

“Jika enam bulan itu berlalu dengan lancar, ia akan mengukuhkan keyakinan bahawa formula PH-BN mampu bertahan sehingga PRU16. Jika gagal, ia akan memberi isyarat bahawa keretakan di peringkat negeri boleh merebak ke peringkat persekutuan,” katanya kepada FMT.
Aminuddin sebelum ini berdepan cubaan menjatuhkannya apabila 14 Adun Umno menarik balik sokongan terhadap beliau sebagai menteri besar. Namun, kepimpinan nasional Umno tetap mempertahankan kerjasama parti itu dengan PH, dengan kedua-dua pihak kemudian bersetuju menangguhkan sidang DUN negeri.
Penganalisis politik Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia berkata enam bulan ialah tempoh maksimum yang dibenarkan oleh perlembagaan sebelum DUN perlu bersidang atau dibubarkan untuk pilihan raya.

“Tempoh enam bulan itu hanyalah penangguhan sementara daripada perpecahan yang boleh mengganggu kerajaan negeri,” katanya. “Ia ibarat menutup masalah buat sementara waktu berbanding menyelesaikannya.”
Seorang sumber dalaman PH memberitahu FMT bahawa kedudukan Aminuddin ‘selamat’ sekurang-kurangnya untuk enam bulan susulan persetujuan antara PH dan Umno untuk menangguhkan sidang DUN, sekali gus menghalang sebarang cubaan segera untuk menjatuhkan Aminuddin yang juga naib presiden Parti Keadilan Rakyat.
Bagaimanapun, Aminuddin masih boleh berdepan usul tidak percaya atau kalah dalam rang undang-undang kerajaan apabila sidang DUN bersambung semula.
Tempoh yang ‘rapuh’
Walaupun pemimpin PH dan BN mengisytiharkan krisis itu telah diselesaikan, ketegangan masih berterusan apabila pemimpin kedua-dua pihak terus berbalas kenyataan pedas.
Penasihat Kebangsaan DAP Lim Guan Eng, baru-baru ini melabelkan Umno dan BN sebagai tidak boleh dipercayai serta menggesa pengundi menolak mereka pada PRU akan datang susulan tindakan 14 Adun Umno menarik balik sokongan terhadap Aminuddin.
Kenyataan itu menerima teguran daripada Naib Presiden Umno Wan Rosdy Wan Ismail yang berkata komen sedemikian tidak membantu dan memberi amaran supaya tidak mencetuskan ketegangan lanjut.
Awang Azman dan Fauzi menyifatkan tempoh enam bulan itu sebagai rapuh memandangkan pertembungan terbuka dalam kalangan pemimpin kerajaan perpaduan.
“Paling baik pun, PH dan BN mungkin mencapai persefahaman pilihan raya untuk tidak bertanding sesama sendiri, sambil menggunakan simbol masing-masing,” kata Fauzi.
Beliau menambah bahawa krisis itu telah menjejaskan hubungan kedua-dua pihak, dengan Adun Umno di Negeri Sembilan dilihat lebih cenderung bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU16 berbanding DAP.
Awang Azman berkata tempoh itu lebih merupakan gencatan politik sementara dan bukannya jalan menuju kestabilan jangka panjang. Beliau mengaitkan kerapuhan itu dengan kepentingan yang tidak sehaluan antara pemimpin negeri dan persekutuan, selain serangan terbuka yang tidak terkawal dalam kalangan rakan gabungan.
“Dengan PRU16 semakin hampir, parti-parti akan mengutamakan kelangsungan politik berbanding perpaduan. Tempoh ini hanya dapat bertahan jika kedua-dua pihak melihat kestabilan sebagai aset strategik nasional, bukannya kompromi sementara,” katanya.