
Menjawab label ‘DNA khianat’ oleh Presiden Umno Zahid Hamidi pada minggu lalu, Hadi berkata Umno pernah menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) terhadap PAS walaupun parti itu menyokong undang-undang berkenaan bagi menentang komunis.
“Tiba-tiba Umno yang berkuasa menggunakannya bagi menentang pengaruh PAS ditahan bawah ISA.
“Rupa-rupanya DNA khianat ini ada pada Umno bukan pada PAS. Peristiwa itu tetap diingati oleh Melayu yang tidak lupa,” kata Hadi dalam tulisan terbaharu ‘Minda Presiden PAS’ bertajuk PAS Mengajak Perpaduan Istiqamah.
Mengikut rekod, pemimpin PAS pernah ditangkap dalam Ops Lalang pada 1987 di bawah akta yang telah dimansuhkan hampir 14 tahun lalu.
Minggu lalu, Zahid berkata Umno mungkin mempertimbangkan kerjasama semula dengan PAS sekiranya parti itu menghilangkan ‘DNA khianat’, merujuk kegagalan Muafakat Nasional (MN) selepas PAS bersama Bersatu membentuk Perikatan Nasional (PN).
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Hadi mengajak Umno ‘kembali ke pangkal jalan’ selepas didakwa tersalah memilih rakan politik dalam kerajaan perpaduan, sambil menggesa kerjasama dengan PAS.
Hadi dalam tulisan itu turut menyentuh isu DNAA melibatkan pemimpin Umno dengan mengaitkannya kerjasama parti itu dengan DAP dalam kerajaan perpaduan.
“Umno pula ada kaitan dengan DNAA yang nyata mengepung Umno dalam UmDAP (Umno yang bekerjasama dengan DAP), namun tidak menjadi halangan kepada usaha perpaduan umat,” katanya tanpa menyebut nama pemimpin Umno terbabit.
Namun ia mungkin merujuk kepada Zahid yang dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi susulan permohonan peguam negara pada 4 Sept 2023.
Mahkamah Tinggi telah memberikan Zahid DNAA daripada 47 pertuduhan rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah sementara menunggu siasatan lanjut oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam tulisan sama, Hadi turut mengajak Umno kembali kepada konsep perpaduan Melayu-Islam menerusi muzakarah berasaskan Islam.
Beliau mencadangkan pihak ketiga terdiri daripada mufti dan ilmuwan Islam dilibatkan bagi mencari titik persefahaman antara kedua-dua parti.
“Carilah dan cadangkanlah pihak ketiga dalam kalangan mufti atau ilmuwan Islam untuk membuka kitab Allah dan segala ilmunya dengan ikhlas, amanah, dan benar,” katanya.
Hadi berkata PAS pernah mengemukakan cadangan muzakarah dengan UMNO sejak 1984 dan juga debat terbuka pada 2001, namun mendakwa usaha itu tidak diteruskan pihak lawan.