Pegawai Sanusi dipilih ketua sayap penyokong bukan Islam PAS

Pegawai Sanusi dipilih ketua sayap penyokong bukan Islam PAS

B Kumaresan menang selepas menewaskan pencabar K Deepakaran.

B Kumaresan dipilih sebagai ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS yang baharu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
B Kumaresan dipilih sebagai ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) menggantikan N Balasubramaniam yang tidak mempertahankan jawatan itu bagi memberi laluan kepada muka baharu.

Menerusi mesyuarat agung tahunan pertama DHPP semalam, Kumaresan yang juga pegawai khas Menteri Besar Kedah Sanusi Nor menang selepas menewaskan pencabar K Deepakaran dari Selangor.

Sementara itu, Lim Guan Seng yang juga pegawai khas Menteri Besar Kelantan Nassuruddin Daud menang tanpa bertanding bagi jawatan timbalan ketua DHPP.

Ketua Penerangan DHPP Pusat, G Balachandran, berkata kejayaan melaksanakan mesyuarat agung tahunan pertama di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Gombak, membuktikan PAS sebagai gerakan politik berpaksikan prinsip, kestabilan dan keharmonian masyarakat majmuk.

“Sejarah membuktikan PAS tidak pernah dibina atas asas kebencian kaum atau sentimen sempit. Dalam pelbagai episod getir negara termasuk tragedi 13 Mei 1969, PAS memilih jalan damai, kestabilan dan keharmonian masyarakat.

“Kewujudan DHPP membuktikan perjuangan PAS terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum yang mendambakan politik lebih matang, stabil dan berteraskan nilai,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, dalam suasana politik negara yang semakin dipenuhi polarisasi kaum, politik kebencian dan persepsi melampau terhadap agama, DHPP membawa mesej penting perpaduan nasional tidak boleh dibina melalui ketakutan atau sentimen perkauman.

“Sebaliknya melalui kepercayaan, dialog dan keadilan yang dapat dirasai semua rakyat,” katanya.

Selain Kumaresan dan Lim, turut dipilih SN Surianarayanan sebagai naib ketua, R Hareetaran (setiausaha), dan Teh Kar Yaw (penolong setiausaha I DHPP pusat) bagi sesi 2026-2027.

S Jalaraman dilantik sebagai penolong setiausaha II dan Alex Chan (penolong setiausaha III) manakala K Jayaraman (bendahari) dan L Manickam (pengarah pilihan raya) bersama 14 individu lain bagi mengisi jawatan tertinggi sayap itu.

DHPP diangkat menjadi sayap bersekutu pada September tahun lalu sekali gus memberikannya kedudukan setara sayap Ulama, Wanita dan Pemuda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.