
Beliau berkata, ia menjadi sebab Pulau Pinang menetapkan peraturan dua penggal ketika meminda perlembagaan negeri pada 2018.
“Sekiranya, DUN dibubarkan lebih awal, seseorang pemimpin mungkin tidak berkhidmat penuh lima tahun bagi setiap penggal. Sebagai contoh, jika seseorang hanya berkhidmat lapan tahun secara keseluruhan, mereka belum mencapai had 10 tahun dan masih boleh bertanding semula,” katanya di DUN.
Chow menjawab persoalan Lee Khai Loon (PH-Machang Bubok), yang ingin mengetahui sama ada Pulau Pinang akan beralih daripada had dua penggal kepada had 10 tahun, selaras cadangan peraturan persekutuan bagi jawatan perdana menteri.
Ketua menteri berkata, pindaan 2018 itu dibuat susulan perbincangan berbulan-bulan dalam mesyuarat exco dengan peraturan dua penggal itu dibuat berdasarkan tempoh kitaran standard DUN.
Beliau menjelaskan, setiap penggal bermula dari persidangan pertama DUN selepas pilihan raya sehinggalah ia dibubarkan.
Chow turut menyatakan, keputusan tersebut dibuat berdasarkan pengalaman, di mana penggal DUN bagi 2008 hingga 2013 dan 2013 hingga 2018 berlangsung hampir tamat mandat.
“Atas sebab itu, kita merasakan bahawa kita boleh menggunakan penggal sebagai asas mengehadkan tempoh perkhidmatan ketua menteri kepada dua penggal, dan bukannya memilih 10 tahun,” katanya.
Chow berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai rancangan meminda perlembagaan negeri buat masa ini, namun mungkin akan mempertimbangkannya semula sekiranya Parlimen meluluskan rang undang-undang had 10 tahun di peringkat persekutuan.
“Sekiranya, pindaan di Parlimen telah diluluskan pada persidangan lalu, mungkin kita boleh berfikir untuk menyelaraskannya dengan membawa pindaan kepada perlembagaan negeri supaya selari dengan tempoh 10 tahun, dan bukannya dua penggal,” katanya.