
Bercakap kepada FMT, Ahmad Zaharudin Ahmad Sabri menyifatan kenyataan Timbalan Presiden Muda Zaidel Baharuddin dilihat seperti pengakuan jujur, tetapi pada masa sama menyerlahkan kelemahan parti itu.
Katanya, Muda boleh dilihat perlu bergantung kepada aura tokoh luar, belum mempunyai arah, ikon dan daya juang tersendiri.
“Muda seolah-olah menumpang tuah Rafizi, seorang tokoh yang sinonim dengan politik idea dan keberanian melawan arus,” kata penganalisis dari Global Asia Consulting itu.
Baru-baru ini, Zaidel dalam satu program audio siar berkata Muda terbuka bekerjasama atau menerima pandangan Rafizi walaupun setakat ini tiada hubungan rasmi antara kedua-dua pihak.
Beliau berkata, Muda sanggup mengetepikan ego kerana banyak perkara boleh dipelajari daripada bekas timbalan presiden PKR itu meskipun sebelum ini mungkin wujud perbezaan pandangan atau rasa sangsi antara kedua-dua pihak.
Bagaimanapun, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia melihat kenyataan Muda dari sudut lebih positif.
Katanya, Muda boleh dilihat sebagai parti yang rasional kerana menghormati kepakaran teknikal Rafizi, termasuk pendekatan dan strateginya dalam politik.
Beliau berkata, daripada memperlekehkan ‘formula’ Rafizi, Muda sebaliknya melihat pengalaman dan kemampuan bekas menteri ekonomi itu sebagai sesuatu yang boleh dipelajari.
“Pada masa sama, Muda mungkin cuba menarik Rafizi ke pihak mereka kerana Rafizi jelas boleh menjadi nilai tambah kepada parti itu,” katanya.
Sebagai rekod, Rafizi dan Muda berada ‘satu pentas’ dalam penganjuran perhimpunan berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki, bulan lalu.