
Beliau berkata, keseluruhan proses itu berjalan dengan lancar dan dikendalikan secara profesional oleh pegawai penyiasat SPRM.
“Soal siasat tadi habis dalam 4.30 petang. Saya dimaklumkan bahawa semua keterangan saya telah diambil sepenuhnya dan itu melengkapkan lebih kurang empat hari keterangan yang berjumlah 131 muka surat,” katanya yang bagaimanapun tidak menolak kemungkinan akan dipanggil semula jika diperlukan.
Bercakap kepada media selepas hampir tujuh jam keterangannya dirakam di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, Rafizi berkata, beliau tidak dimaklumkan tentang sebarang tindakan lanjut atau kemungkinan tuduhan setakat ini kerana siasatan masih berjalan dan beberapa lagi saksi dijangka dipanggil.
Beliau memaklumkan bahawa fokus siasatan sepanjang empat hari itu tertumpu kepada proses dan prosedur membuat keputusan termasuk mesyuarat, dokumen dan minit berkaitan.
“Tumpuannya ialah proses dan prosedur membuat keputusan … tidak ada elemen wang langsung,” katanya, lapor Bernama.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM Mohd Hafaz Nazar mengesahkan bahawa hari ini ialah hari keempat dan terakhir SPRM merakam percakapan Rafizi, sejak Isnin lepas.
“Sesi rakaman percakapan Rafizi untuk hari ini yang bermula 10 pagi tadi telah berakhir 4.30 petang,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dilaporkan berkata, siasatan kes pelaburan bernilai RM1.1 bilion melibatkan perjanjian kerjasama strategik industri semikonduktor antara Kementerian Ekonomi dengan Arm Holdings dari United Kingdom kini pada peringkat akhir.
Setakat ini, katanya, 22 saksi telah dipanggil termasuk penganalisis politik James Chai bagi membantu siasatan, dan dua lagi saksi akan dipanggil, masing-masing seorang di Taiwan dan seorang lagi di Malaysia.
SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Feb lepas susulan aduan daripada tiga NGO yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberikan kesan kewangan kepada kerajaan.
Kes membabitkan urus niaga dengan Arm Holdings itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.