Individu ditahan SPRM bukan warga syarikat, kata Padini

Individu ditahan SPRM bukan warga syarikat, kata Padini

Semua individu yang ditahan berkait siasatan SPRM bukan pekerja, pegawai mahupun ahli pengurusan syarikat, kata Padini.

PADINI OUTLET AEON CHERAS
Bulan lepas, SPRM beku beberapa akaun milik peruncit fesyen Padini dan anak-anak syarikatnya dalam siasatan berhubung pengubahan wang haram.
PETALING JAYA:
Padini Holdings Bhd menjelaskan, tiada seorang pun individu yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan melibatkan syarikat dan anak syarikatnya merupakan kakitangan, pegawai mahupun anggota pengurusan Padini.

Peruncit fesyen itu merujuk laporan media bahawa lapan individu ditahan bagi membantu siasatan SPRM berkaitan Padini dan anak syarikatnya.

“Padini ingin menegaskan bahawa semua individu yang ditahan bukan pekerja, pegawai atau ahli pengurusan syarikat,” katanya dalam kenyataan.

“Syarikat kekal komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada SPRM sepanjang tempoh siasatan yang sedang dijalankan.”

Terdahulu, media melaporkan SPRM menahan lapan individu bagi membantu siasatan berhubung pembekuan beberapa akaun bank yang dikenal pasti milik Padini dan anak syarikatnya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki turut berkata, pihaknya telah merakam keterangan daripada 10 orang setakat ini, dan sedang mengesan 15 lagi individu.

Menurutnya, beberapa aset dan akaun bank syarikat berkaitan dengan siasatan itu masih dibekukan.

Bulan lepas, SPRM membekukan beberapa akaun milik Padini dan anak-anak syarikatnya dalam siasatan berhubung pengubahan wang haram.

Padini berkata, tindakan itu berkaitan dengan siasatan membabitkan beberapa pihak luar ketiga, dan pihaknya telah melantik peguam untuk membatalkan pembekuan akaun terbabit sementara operasi perniagaannya berjalan seperti biasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.