
Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Zulhilmi Halim, berkata beliau merekodkan keterangan ahli perniagaan Zarul Ahmad Zulkifli dan G Gnanaraja antara 2019 hingga 2020.
“Kedua-duanya menyatakan RM2 juta dibayar kepada tertuduh (Lim),” katanya.
Zulhilmi berkata Lim pada 2020 menafikan mengenali Zarul atau menerima wang daripadanya.
Menurutnya, siasatan turut mendapati Zarul menyerahkan wang tunai berjumlah RM3.3 juta kepada Lim secara berperingkat dalam tempoh beberapa tahun.
Katanya, beberapa saksi termasuk bekas kakitangan Zarul, Azli Adam dan Ibrahim Sahari, turut menyokong keterangan Zarul berkaitan pengeluaran wang tunai itu.
Timbalan pendakwa raya Wan Shaharuddin Wan Ladin kemudian bertanya sama ada wujud ‘jejak wang’ yang mengaitkan Lim sebagai penerima wang berkenaan.
Zulhilmi mengesahkan tiada jejak wang ditemui, namun berkata ia tidak menjejaskan siasatan.
“Adalah tidak munasabah untuk tertuduh memasukkan wang itu ke dalam akaunnya sendiri,” katanya.
Pembelaan mungkin panggil semula 37 saksi
Terdahulu, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda satu pertuduhan rasuah terhadap Lim, yang mendakwa beliau menerima RM3.3 juta daripada Zarul antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.
Lim mengekalkan pengakuan tidak bersalah.
Peguam Ramkarpal Singh berkata beliau mahu mendapatkan arahan Lim sama ada mahu memanggil semula saksi yang pernah memberi keterangan sebelum ini.
“Kami juga baru menerima kenyataan beliau kepada SPRM pagi ini. Pada pandangan kami, ia kenyataan yang memihak kepada pembelaan.
“Kami mungkin mahu menyoal balas Zulhilmi dan saksi lain berhubung perkara itu,” katanya.
Hakim Azura Alwi membenarkan pihak pembelaan menangguhkan soal balas terhadap Zulhilmi.
Prosiding bersambung pada 14 Mei.
Lim didakwa menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta 10% keuntungan daripada projek terowong dasar laut, selain menerima rasuah RM3.3 juta daripada Zarul.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan melupuskan secara tidak jujur tanah kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta.