
Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata, antara aset dalam proses pemulihan adalah lapan karya seni bernilai tinggi dijangka diperoleh semula menjelang hujung tahun ini.
“Kami mencapai satu kejayaan penting dalam mendapatkan semula aset melalui Bantuan Perundangan Bersama dengan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (USDOJ).
“Jika semuanya berjalan lancar, kita akan memperoleh lukisan-lukisan ini menjelang hujung tahun ini,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat SPRM.
Beliau berkata, setakat 2025 Malaysia berjaya memulihkan RM31.3 bilion atau 74.53% daripada keseluruhan RM42 bilion dana 1MDB yang diselewengkan.
“Ini melebihi anggaran awal 70% (RM30 bilion) dinyatakan dalam sesetengah laporan. Kejayaan ini merupakan kadar pemulihan aset tertinggi di dunia untuk skandal jenayah kewangan berskala besar,” katanya.
Azam berkata, antara karya seni masih dalam proses pemulihan ialah lukisan oleh Henri Matisse bernilai USD52,500, Alexander Calder (USD125,000), Pablo Picasso (USD1.265 juta), William H Bailey (USD66,250) dan Raoul Dufy (USD40,000).
Selain itu, karya oleh Salvador Dalí dan Gustave Loiseau yang masih dalam proses pengesahan nilai.
“Secara keseluruhan, nilai lukisan yang masih dalam proses pemulihan dianggarkan sekitar USD1.7 juta, bersamaan kira-kira RM6.9 juta,” kata Azam.
Beliau berkata, SPRM juga sedang berusaha mendapatkan semula hasil jualan lukisan Claude Monet bertajuk Vétheuil au Soleil yang dijual di Switzerland pada harga kira-kira EUR25.2 juta atau sekitar RM114 juta.
“Dana tersebut kini dalam proses penyitaan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat dan usaha pemulihan sedang diteruskan melalui saluran perundangan serta kerjasama dengan pihak berkuasa di Amerika Syarikat dan Switzerland,” katanya.
Terdahulu, SPRM memaklumkan empat karya seni bernilai hampir RM800,000 berjaya dibawa pulang ke Malaysia pada 14 April lalu hasil kerjasama Biro Siasatan Persekutuan (FBI) dan USDOJ.
Empat karya itu ialah Composition (1953) oleh Joan Miró; Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV, Rue St Vincent, Montmartre (1934) oleh Maurice Utrillo; Étude pour femme couchée (1948) oleh Balthus dan L’Ecuyère et les clowns (1961) oleh Pablo Picasso.