SPRM syor dakwa 2 individu dalam siasatan Arm Holdings

SPRM syor dakwa 2 individu dalam siasatan Arm Holdings

Bagaimanapun, Ketua Pesuruhjaya Azam Baki enggan mendedahkan identiti individu terbabit.

logo sprm macc
SPRM siasat kes membabitkan urus niaga dengan Arm Holdings mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.
PUTRAJAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan dua individu didakwa berhubung siasatan dakwaan rasuah melibatkan urus niaga pelaburan kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan syarikat pengeluar cip berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings.

Ketua Pesuruhjaya Azam Baki berkata siasatan kes itu kini hampir selesai selepas keterangan daripada 22 saksi direkodkan setakat ini, termasuk bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli dan bekas pegawainya, James Chai.

azam baki
Azam Baki.

“Saya tidak boleh dedahkan siapa, tetapi kita mencadangkan supaya pertuduhan dibuat,” katanya pada sidang media.

Menurutnya, SPRM dijangka memanggil dua lagi saksi bagi melengkapkan siasatan, masing-masing seorang di Taiwan dan seorang lagi di Malaysia.

SPRM membuka kertas siasatan pada 16 Februari lalu susulan aduan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa perjanjian projek dibuat secara tergesa-gesa dan bersifat berat sebelah sehingga dijangka memberikan kesan kewangan kepada kerajaan.

Selain itu, siasatan turut menjurus kepada kemungkinan wujud unsur konflik kepentingan membabitkan beberapa individu yang dikatakan diberikan jawatan tinggi dalam syarikat asing berkenaan selepas berhenti daripada perkhidmatan di sebuah kementerian.

Kes membabitkan urus niaga dengan Arm Holdings itu disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Pada 12 Feb lalu, Rafizi menepis laporan SPRM yang dibuat terhadapnya berkaitan perjanjian kerajaan dengan Arm Holdings.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.