Pencen bukan noktah tapi penghijrahan, kata Azam

Pencen bukan noktah tapi penghijrahan, kata Azam

Azam Baki akan menamatkan perkhidmatan sebagai ketua pesuruhjaya SPRM 12 Mei ini selepas menjawat jawatan itu bermula Mac 2020.

Azam Baki
Azam Baki yang akan menamatkan perkhidmatan sebagai ketua pesuruhjaya SPRM berkata pesara kerajaan adalah aset penting yang menyumbang kepada khidmat bakti bukannya demi legasi peribadi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Azam Baki berkata persaraan bukan noktah tetapi suatu penghijrahan dan permulaan baharu dalam kehidupan.

Azam yang akan menamatkan perkhidmatan kira-kira seminggu lagi berkata, pesara kerajaan adalah aset penting yang menyumbang kepada khidmat bakti, bukannya demi legasi peribadi.

Katanya, justeru jasa pesara kerajaan akan terus dikenang melampaui waktu perkhidmatan.

“Oleh itu, jadikan kehidupan baharu yang bakal dilalui ini sebagai satu kehidupan yang lebih bermakna. Teruskan kekal aktif melalui gaya hidup sihat.

“Selain kecergasan fizikal, penjagaan kesihatan mental dan emosi amat penting untuk memastikan kehidupan yang sejahtera selepas bersara,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sanjungan Budi SPRM 2026 di Bangi Avenue Convention Centre, menurut Berita Harian.

Azam akan menamatkan perkhidmatan pada 12 Mei ini selepas menjawat jawatan itu bermula Mac 2020.

Tempatnya akan digantikan bekas hakim Mahkamah Tinggi Abdul Halim Aman berkuat kuasa 13 Mei.

Sementara itu, Azam berkata majlis tersebut bertemakan ‘Integriti Dijunjung, Budi Disanjung’ diadakan sebagai pengiktirafan tertinggi terhadap sumbangan warga kerja yang berkhidmat dengan gigih demi menjaga nama baik organisasi dan kedaulatan negara.

“Setinggi penghargaan dan terima kasih saya ucapkan atas segala khidmat bakti yang diberikan selama ini kepada SPRM,” katanya.

Dalam majlis itu, wakil pesara SPRM, Zainol Darus turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengurusan tertinggi dan seluruh warga SPRM atas segala bimbingan serta tunjuk ajar yang diberikan sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

Seramai 36 daripada 51 pesara dan bakal pesara tahun ini diraikan dalam majlis itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.