
Perintah reman empat hari sehingga 8 Mei itu dikeluarkan Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pagi tadi.
Bernama memetik sumber sebagai berkata, dua suspek lelaki lingkungan 20-an dan 40-an itu ditahan sekitar 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek disyaki bersubahat melakukan perbuatan tersebut pada 2025 dan wang rasuah yang diminta adalah sebagai balasan memberikan ‘kelulusan segera’ sijil kompetensi kepada setiap peserta kursus.
“Kedua-dua suspek dipercayai telah menerima antara RM900 hingga RM1,500 bagi kira-kira 31 peserta dan wang rasuah diperoleh melalui transaksi pemindahan wang ke akaun bank peribadi milik masing-masing,” katanya.
Menurut sumber berkenaan, SPRM kini sedang meneliti sama ada penipuan sijil kompetensi tersebut berlaku pada skala lebih besar dan tidak menolak kemungkinan untuk melakukan semakan terhadap setiap sijil yang telah dikeluarkan agensi berkaitan untuk mengenal pasti kesahihan sijil berkenaan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu Hazrul Shazreen Abd Yazid mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan.