Selesai disoal 9 jam, Rafizi beredar dari SPRM

Selesai disoal 9 jam, Rafizi beredar dari SPRM

Ahli Parlimen Pandan itu tiba di ibu pejabat SPRM pada 9.30 pagi dan keluar pada 6.50 petang.

Rafizi Ramli
Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli dipanggil bantu siasatan SPRM berhubung perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan Arm Holdings.
PUTRAJAYA:
Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli meninggalkan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas meluangkan masa lebih sembilan jam memberi keterangan kepada agensi antirasuah tersebut.

Ahli Parlimen Pandan itu tiba di ibu pejabat SPRM pada 9.30 pagi tadi bagi membantu siasatan berhubung perjanjian kerajaan bernilai RM1.1 bilion dengan syarikat semikonduktor berpangkalan di United Kingdom, Arm Holdings.

Beliau beredar dari bangunan tersebut pada 6.50 petang.

Rafizi memberitahu wartawan yang berkumpul di luar bahawa beliau akan hadir semula esok pada 10 pagi untuk sesi kedua soal-siasat.

Hampir 50 orang berkumpul di luar bangunan pagi tadi sebagai tanda sokongan, termasuk wakil rakyat PKR Ahli Parlimen Subang Wong Chen, Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung, Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail, Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan dan Ahli Parlimen Balik Pulau Bakthiar Wan Chik.

SPRM sedang menyiasat dakwaan salah laku dalam perjanjian perkongsian strategik bernilai RM1.1 bilion itu antara Kementerian Ekonomi dengan Arm Holdings.

Minggu lepas, agensi antirasuah itu menyoal siasat bekas pegawai Rafizi, James Chai, selama tiga hari.

Malaysia memperuntukkan USD225 juta (RM930.52 juta) untuk perkongsian selama empat tahun dengan Arm Holdings bertujuan memudahkan syarikat tempatan mendapatkan akses kepada harta intelek dan teknologinya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.